Skip to main content
EkonomiGlobalHomeViral

The Edge Menyangkal Dakwaan Justo

By 24 Julai 2015Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Malaysiaaktif) – Pengerusi The Edge Media Group Tong Kooi Ong dan Penerbit The Edge, Ho Kay Tat mengeluar kenyataan menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Xavier Andre Justo dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura hari ini.

Justo kini dalam tahanan polis Thai kerana didakwa cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International.

Berikut kandungan penuh kenyataan tersebut:

 

“Ya, kami memperdayakan Justo mengenai pembayaran bagi mendapatkan bukti penipuan AS$1.83 bilion.

Kami merujuk kepada laporan berita dalam The Straits Times hari ini di mana Xavier Andre Justo menuduh kami tidak membayarnya apa yang dijanjikan sebagai imbuhan penyerahan maklumat yang diberikannya berhubung usaha sama di antara 1MDB – PetroSaudi.

Pertama, kami ingin menegaskan bahawa wartawan The Straits Times mungkin mempunyai hubungan rapat dengan pihak-pihak tertentu hingga dibenarkan berjumpa Justo di penjara Bangkok, walhal Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri pun yang kini berada di Bangkok, setakat ini belum dapat kebenaran untuk berjumpa Justo.

Siapa agaknya tangan-tangan tersembunyi yang begitu berkuasa mampu mengatur supaya wartawan akhbar Singapura, Nirmal Ghosh berjaya ditemukan dengan Justo supaya dapat melancarkan serangan terhadap kami?

Nampaknya Justo seorang yang amat marah dan sememangnya dia berasa begitu memandangkan kami tidak membayarnya apa yang dipinta.

Ya, kami memperdayakannya. Tetapi, itulah satu-satunya cara untuk mendapatkan bukti bagi mendedahkan bagaimana sekumpulan kecil orang Malaysia dan warga asing melakukan penipuan berjumlah RM6.97 bilion terhadap rakyat Malaysia.

Kenyataan beliau mengesahkan apa yang kami nyatakan sebelum ini, iaitu kami tidak membuat bayaran kepada sesiapa pun.

Berhubung dakwaan  Justo kononnya kami memberitahu beliau tentang hasrat untuk mengubahsuai dokumen-dokumen tersebut dan bahawa matlamat kami ialah untuk menjatuhkan Kerajaan, tentunya jika kami mempunyai niat sedemikian, kami pasti tidak akan memberitahu seseorang yang kami berjumpa buat kali pertama. Apatah lagi, memandangkan kami sedar beliau akan marah kami kerana kami akhirnya tidak mahu membayar apa yang beliau minta.

Pengubahsuaian tidak berlaku kerana kami dengan segera melakukan proses pengenalan digital (digital fingerprint) cakera keras yang mengandungi lebih 400,000 e-mel dan dokumen bagi memastikan kesahihannya. Salinan yang diberikan kepada pihak Bank Negara Malaysia, polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini adalah salinan tepat seperti yang disampaikan Justo kepada kami dan beliau juga berkata beliau tidak melakukan apa-apa perubahan.

Tambah lagi, jejak wang yang kami kumpulkan dan kemukakan kepada para penyiasat yang menunjukkan bagaimana wang 1MDB dipindahkan ke dalam akaun-akaun beberapa individu di beberapa buah bank  global di beberapa buah negara boleh ditentu sahkan dengan bantuan rakan sejawat mereka di negara ini.

Sememangnya Justo amat marah. Bagaimana pun, isu di sini bukan mengenai Justo, dan juga bukan mengenai kami.

Ia adalah mengenai skim untuk menipu rakyat Malaysia sebanyak AS$1.83 bilion melalui usaha sama 1MDB-PetroSaudi.

Usaha beberapa buah agensi kerajaan menyiasat 1MDB yang hamper muflis hingga perlu dibantu untuk diselamatkan hanya mengesahkan tindakan The Edge Media Group untuk mendedahkan apa yang berlaku.

Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan dan kami berada di sini untuk membantu para penyiasat, dan bukan melarikan diri seperti sesetengah pihak.”

 

 

 

Tinggalkan komen anda