
Oleh: Faris Fuad
BUTTERWORTH, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa anggota parti supaya terus bertahan sehingga isu 1MDB dapat diselesaikan.
Beliau yakin pihak yang diberi tugas menyelesaikan kes itu dapat merungkai segala permasalahan menjelang akhir tahun ini
“Tunggulah hujung tahun tapi…sambil itu kita nak keluarga UMNO kita kuat, berani bangkit berdepan dengan sesiapa sahaja” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh semalam.
“Isu 1MDB kita akan selesaikan secara telus. Ini cara kita dalam UMNO,”
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memberi jaminan bahawa pihak yang didapati terlibat dengan aktiviti penyelewengan 1MDB akan dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau turut menyarankan orang ramai supaya menjadikan pergolakan geopolitik di negara-negara Timur Tengah sebagai pengajaran agar insiden yang sama tidak berlaku di negara kita
“Sekarang memang ada usaha untuk suntik elemen sedemikian di negara kita. Justeru, rakyat perlu lebih peka dan jangan hanya menerima sesuatu perkara itu tanpa mendapat pengesahan mengenainya.
“Kita perlu ingat walaupun kerajaan mereka sudah bertukar, namun masalah yang dihadapi di negara berkenaan masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.