Skip to main content
HomeViral

Penjawat Awam Antara Ditahan Bawa Ganja Masuk Indonesia

By 24 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

JAKARTA, 24 Ogos —  Polis menahan tiga warga Malaysia dan merampas bungkusan kertas yang mengandungi ganja ketika mereka hendak memasuki Pulau Sebatik di Kalimantan Utara pada Ahad.

Menurut laporan media tempatan, mereka ditahan di Pos Pelabuhan Sei Nyamuk, Pulau Sebatik ketika baru tiba dari Tawau, Sabah petang Ahad.

Ketua Polis Sei Nyamuk, Iptu Oman dipetik sebagai berkata pada mulanya, polis memeriksa dokumen penumpang feri dari Malaysia di Pelabuhan Sei Nyamuk dan mendapati tiga rakyat Malaysia itu tidak menggunakan pasport untuk memasuki Pulau Sebatik di Indonesia.

Seorang daripada mereka merupakan penjawat awam sebuah jabatan persekutuan manakala dua lagi ialah pengurus sebuah syarikat perladangan dan ahli perniagaan.

Hasil siasatan mendapat mereka berasal dari Sandakan, Sabah dan ketika dibawa untuk siasatan di balai polis Nunukan, seorang daripada mereka secara tergesa-gesa telah membuang sebuah bungkusan kertas.

“Setelah membuat pemeriksaan, bungkusan surat khabar itu didapati mengandungi ganja dan hasil soal siasat, mereka mengakui akan menyertai satu pesta dadah bersama rakan lain di pulau berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah atau berat ganja itu belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Indonesia mengamalkan hukuman penjara atau denda atau mati mandatori bagi kesalahan pengedaran dadah di negara itu.

 

— MStar

Tinggalkan komen anda