Skip to main content
HomeKolumnisViral

Kedudukan Mukhriz Mahathir Semakin Panas

By 26 Ogos 2015Tiada komen5 minit bacaan
Oleh Genevieve Julia Duis

Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan dapat duduk senang di Kedah mulai sekarang berikutan apa yang berlaku di Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Alor Setar, dan sekali gus menghidupkan semula spekulasi bahawa jawatannya berada di tahap yang genting.

Walaupun, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, sentiasa menjadi tarikan dan tumpuan orang ramai di mana sahaja beliau berada, namun apabila beliau dan Mukhriz berada di atas pentas yang sama, lebih ramai yang teruja.

Itulah yang berlaku di Alor Setar baru-baru ini apabila Mukhriz bersama Khairy melancarkan program ‘Fit Malaysia’ peringkat negeri Kedah.

Yang ramai hadir pada program itu golongan muda dan sebahagian mereka mahu melihat kedua-dua pemimpin itu bersama. Ini kerana kedua-dua pemimpin itu memang tidak sekutu, dan apabila mereka tampil bersama di khalayak ramai, pasti impaknya luar biasa.

Dan apabila seorang pelajar yang mengambil bahagian dalam acara berbasikal jatuh pengsan, ada yang menyangka dia terlalu teruja kerana berjumpa dua pemimpin terkenal itu. Tetapi,  sebenarnya pelajar tersebut rebah kerana bangun awal pada pukul 5 pagi untuk mengayuh basikal dari kampungnya di Pendang yang terletak jauh dari Alor Setar.

Sebenarnya, Menteri Besar Kedah itu bukan muda. Walaupun umur beliau sudah mencecah 51 tahun, namun sikapnya menyebabkan beliau kelihatan muda, justeru sentiasa menjadi tarikan kepada belia.

Tetapi, aura yang sama tidak dikongsi dalam kalangan ahli Umno. Di antara mereka ada yang menganggap beliau sebagai ahli politik calon payung terjun di Kedah.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa berdiam diri kerana akur kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka sedar bahawa Presiden UMNO itu memberikan sokongan kepada Mukhriz walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad bertubi-tubi mengkritik beliau.

Tetapi, apakah senario akan berubah? Sesetengah pihak berfikir begitu, terutama berikutan apa yang berlaku di Alor Setar selepas Mesyuarat Agung Tahunan UMNO pada Ahad.

Mukhriz yang lantang mengkritik Najib, mendapati dirinya menerima padah yang sama semasa mesyuarat di Alor Setar, walaupun tidak seteruk apa yang dilakukan terhadap ayahnya.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang diketahui umum sebagai sekutu lama Najib mengambil kesempatan dalam majlis tersebut untuk menyampaikan isyarat kepada Mukhriz  di hadapan Najib.

Ucapan Ahmad Bashah selama satu jam dua puluh minit itu berkisar mengenai kesetiaan kepada kepimpinan dan cinta kepada parti.

“Ahmad Bashah membuka cerita dan kemudian disambut oleh presiden kita hingga membawa kepada kesimpulan,” kata ahli jawatankuasa Umno Alor Setar,Datuk Guntor Tobeng.

Ahmad Bashah yang juga seorang Timbalan Menteri dan Timbalan Ketua UMNO Kedah, mengimbau kembali semasa Dr Mahathir berkeras mahu menggantikan Tan Sri Osman Aroff dengan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Menteri Besar hingga berlaku kegemparan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.

Beliau juga menceritakan bagaimana pemimpin-pemimpin Kedah yang ingin menyokong Datuk Suhaimi Kamaruddin untuk kepimpinan Pemuda Umno pada 1982, tetapi usaha tersebut dicantas oleh Dr Mahathir yang menyusuli dengan arahan supaya sebaliknya mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kedua-dua keadaan itu, para pemimpin Kedah tunduk kepada apa yang Dr Mahathir mahukan.

Beliau berkata apabila Kedah jatuh pada 2008, beliau sebagai Timbalan Ketua UMNO negeri terpaksa menanggung beban mentadbirkan parti di negeri yang dikuasai pembangkang.

Beliau terpaksa berjumpa dengan Najib banyak kali untuk mendapatkan bantuan dan dana, dan menurut beliau Najib tidak sekali pun mengatakan tidak.

Walaupun sederhana, mesej dalam ucapan beliau amat jelas – bahawa menyokong keputusan presiden bukan sesuatu yang baharu, malahan adalah sebahagian daripada budaya politik UMNO. Ayah Mukhriz sendiri menuntut benda yang sama semasa menjadi Perdana Menteri.

Ucapan Ahmad Bashah itu seolah-olah menunjukkan bahawa Mukhriz tidak pernah mengharungi kesusahan , seperti orang lain, malahan ‘dipayungterjunkan’ke jawatan beliau.

Ada yang berpendapat apa yang disuarakan oleh Ahmad Bashah merujuk kepada sikap tidak mengenang budi kepada Najib yang meletakkan beliau di situ.

Ucapan Najib pula lebih berterus terang kerana beliau menoleh ke arah Mukhriz apabila mengatakan Ahmad Bashah tidak memberontak apabila beliau dikorbankan bagi membolehkan Mukhriz naik ke atas.

Mungkin Mukhriz amat terasa apabila tersepit di antara ketua-ketua bahagian UMNO yang tidak senang dengan beliau. Walaupun Mukhriz dan Najib tiba ke mesyuarat dalam sebuah kereta, namun hadirin dapat melihat betapa masing-masing tidak selesa bersama di atas pentas.

Mukhriz ridak berpura-pura dalam menyatakan pendiriannya berhubung isu 1MDB apabila meminta Datuk Seri Shafie Apdal merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Jerlun sehari lebih awal.

Para ahli UMNO faham bahawa Mukhriz mempunyai pandangan sendiri mengenai pelbagai isu dan beliau sentiasa setia kepada ayahnya. Mereka memahami akan tanggungjawab kepada ibu bapa, tetapi tidak perlulah mengkritik Najib di mesyuarat UMNO.

‘Secara peribadi, saya rasa tidak salah untuk mempunyai pandangan berbeza daripada kepimpinan, tetapi apabila anda mula mempersoalkan presiden, ia memberi lampu hijau bagi orang lain untuk turut mengkritik anda, terutamanya sekarang bila mereka tahu Najib tidak akan menghalang mereka dari mengkritik,’ kata Guntor.

Mukhriz perlu menghormati hakikat bahawa Najib memilih beliau sebagai Menteri Besar dan dia tidak boleh dengan senang hati membuat kenyataan yang dilihat sebagai mencaci presiden.

Apa yang berlaku di Alor Setar telah menghidupkan semula khabar angin kononnya beliau akan digantikan sebagai Menteri Besar, hinggakan kakitangan perkhidmatan awam negeri Kedah pun secara terbuka membincangkan perkara itu.

Apa pun, ia tidak mungkin berlaku kerana Najib pada saat ini tidak memerlukan satu lagi krisis berlaku di Kedah untuk ditangani. Mukhriz akan kekal dengan jawatan beliau tetapi suasana tidak mungkin selesa seperti sebelumnya.

Pada Isnin lalu, beliau merasmikan sebuah tempat letak kereta baharu di tengah-tengah Alor Setar, tetapi dalam hanya beberapa jam bercambah pesanan SMS mengatakan walaupun beliau pernah menjanjikan sebuah lapangan terbang antarabangsa, tetapi yang menjadi kenyataan hanya sebuah tempat letak kereta.

Tekanan terhadap Mukhriz sudah bermula.

 

— Diterjemahkan daripada cetusan Joceylyn Tan, The Star

 

Tinggalkan komen anda