Skip to main content
HomeViral

Kunjungan Tengku Puan Pahang ke Rumah Pengasih

By 1 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – “Biar anak saya menangis, jangan saya menangis, itulah ungkapan ayahanda saya Sultan Iskandar dalam mendidik kami adik-beradik yang saya ingat sampai bila-bila.”

Demikian titipan mula Tuanku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli di Rumah Pengasih Jalan Syers kelmarin.

Menurut baginda, “anak-anak perlu dicorakkan dari kecil, ibarat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya.’

 

tunku2

 

“Kemajuan hidup hari ini menjadikan bukan sahaja golongan biasa malah golongan profesional boleh terjebak dengan salah guna dadah, namun, dengan ajaran agama yang kukuh pasti kita dapat menilai yang mana kaca yang mana permata.”

Tambah baginda, “Rumah Pengasih cukup ‘hijau’ untuk merawat peserta dengan  sempurna.

“Dengan kelengkapan disediakan, ditambah dengan persekitaran aman damai, saya percaya mereka yang mengambil dadah ini boleh kita berikan pengetahuan agar kembali ke pangkal jalan.”

Rumah Pengasih yang dibangunkan 23 tahun lalu, didiami hampir 130 orang peserta.

Mereka bukan sahaja berasal dari Malaysia, malah ada juga warga Indonesia, Oman, Pakistan, Maldives dan Jordan.

Walaupun berlainan latar belakang dan agama, hubungan mereka ibarat air di cincang tidak akan putus. Keakraban mereka terserlah tatkala melalui pelbagai peringkat rawatan penyalahgunaan dadah.

Salah seorang peserta Pengasih merupakan penyanyi Zamani Slam, yang  mengikuti program ini selama lebih lima bulan.

“Seawal jam lima pagi kami bangun. Mandi, solat Subuh, perjumpaan pagi, perjumpaan bahagian, aktiviti berkumpulan, riadah. Semua kami lakukan bersama-sama.

“Saya yang balik rumah keluarga beraya beberapa hari cukup rindu dengan kawan-kawan di sini. Hubungan kami dah macam adik-beradik. Namun, stigma masyarakat yang masih menghina penagih dadah benar-benar merisaukannya. Kami perlu kuat untuk berdepan dengan penghinaan masyarakat,” katanya.

Bersempena Aidilfitri 2015, Pengasih menjemput keluarga penghuni  untuk menyertai pelbagai program, seperti ‘menonton filem bersama-sama dan rumah terbuka raya. Program bertujuan mengeratkan hubungan peserta dengan ahli keluarga masing-masing.

Adik Lokman bin Mat Noor, 16 tahun juga sempat berkongsi kisah hidupnya.

“Saya mula menagih sejak darjah enam. Adik-beradik yang lain turut menagih. Mak dan ayah di Bidor dah buang kami. Saya bawa diri dan menumpang rumah kakak saya di Chow Kit. Saya ditangkap Oktober tahun lepas. Alhamdulillah di sini, saya dapat sinar baharu untuk mengubah hidup,” jelasnya sambil tersenyum.

 

Tinggalkan komen anda