Skip to main content
EkonomiHomeViral

Status Terkini Bekalan Air Di Kawasan Terbabit

By 21 September 2015Tiada komen4 minit bacaan

 

 

KENYATAAN MEDIA

Status Terkini Bekalan Air Di Negeri Selangor, Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Dan Putrajaya Serta Negeri Johor

 

21 September 2015 –   Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ingin melaporkan status terkini keadaan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta negeri Johor seperti berikut:

SPAN merujuk kepada kenyataan media Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) tempoh hari dan ingin memaklumkan bahawa sehingga kini SPAN belum menerima sebarang permohonan untuk melaksanakan pengagihan air secara berjadual atau catuan air di mana-mana kawasan di negeri Selangor atau Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada SYABAS mahu pun Kerajaan Negeri Selangor.

Sebarang keputusan untuk melaksanakan pengagihan air berjadual akan dibuat oleh SPAN apabila mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor setelah berbincang dengan  Kerajaan Negeri Selangor serta semua operator air termasuk SYABAS.

Seperti yang telah dilaporkan oleh SPAN sebelum ini, rezab marjin air terawat di negeri Selangor serta Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada ketika ini adalah rendah iaitu antara 1 – 3% bergantung kepada kawasan, masa dan keadaan.

Walau bagaimanapun, beberapa projek mitigasi bagi meningkatkan kapasiti bekalan air  terawat  yang  telah  siap  dan  sedang  dilaksanakan  sejak  tahun  2012  oleh Kerajaan  Negeri  Selangor  dengan  pembiayaan  daripada  Kerajaan  Persekutuan telah banyak membantu dalam mengelakkan daripada berlakunya kekurangan air terawat   yang   lebih   serius.   Projek   Mitigasi   Fasa   2   yang   bertujuan   untuk meningkatkan kapasiti agihan daripada beberapa loji rawatan air utama sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dijangka siap pada hujung tahun ini. Apabila siapnya projek tersebut, pengagihan air yang dirawat daripada beberapa loji rawatan air ke kawasan bekalan sedia ada akan dapat ditingkatkan. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk mengoperasikan beberapa loji rawatan air melebihi kapasiti rekabentuk (overloading) tanpa menjejaskan kualiti air yang dihasilkan. Dengan terlaksananya projek tersebut, rezab marjin di beberapa kawasan yang kritikal di negeri Selangor akan dapat ditingkatkan.

Dalam masa yang sama, SPAN ingin memohon kerjasama daripada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor serta agensi-agensi yang terlibat seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kerja Raya supaya Projek Loji Rawatan Air (LRA) serta  Sistem  Agihan  Langat  2  dapat  dilaksanakan  dengan  licin  dan  disiapkan dengan seberapa segera. Penyiapan LRA dan Sistem Agihan  Langat  2  adalah merupakan langkah penyelesaian untuk memenuhi permintaan bekalan air negeri Selangor serta Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi jangka masa panjang.

SPAN juga ingin menasihatkan semua pengguna supaya sentiasa berhemah dalam penggunaan bekalan air serta mengelakkan pembaziran.

 

STATUS BEKALAN AIR DI NEGERI JOHOR

SPAN juga ingin memaklumkan bahawa bekalan air berjadual di Daerah Kota Tinggi dan Daerah Johor Bahru di negeri Johor masih diteruskan setelah SPAN bersetuju untuk melanjutkannya sehingga 15 Oktober 2015 akibat penyusutan paras di dua empangan iaitu Empangan Sg. Lebam dan Empangan Sg. Layang.

Walau bagaimanapun, SPAN telah menerima permohonan daripada SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJH) dan bersetuju supaya bekalan air berjadual di kedua-dua daerah tersebut diberhentikan secara sementara waktu pada 23, 24 dan 25 September 2015. Ini adalah untuk membolehkan pengguna-pengguna meraikan perayaan Hari Raya Aidil Adha tanpa gangguan bekalan air. Bekalan air berjadual akan diteruskan selepas tempoh tersebut seperti jadual sebelumnya.

Walaupun terdapat hujan di kedua empangan tersebut iaitu sebanyak 29 mm di Empangan Sg. Lebam dan 101 mm di Empangan Sg. Layang dalam tempoh masa 7 hari  kebelakangan  ini  (sejak  13  September  2015)  namun  paras  kedua-dua empangan masih lagi rendah. Sehingga 20 September 2015, Empangan Sg. Lebam berada pada paras 9.12 meter (m) di atas aras laut dengan peratus simpanan sebanyak  10.74%  manakala  paras  Empangan  Sg.  Layang  pula  ialah  19.12  m dengan peratus simpanan sebanyak 15.90%.

Bekalan air berjadual tersebut melibatkan sebanyak 13,012 akaun atau anggaran 53,000 orang pengguna di Daerah Kota Tinggi dan sebanyak 116,000 akaun atau anggaran 580,000 orang pengguna di Daerah Johor Bahru. Di bawah pengagihan berjadual tersebut, pengguna-pengguna di Daerah Kota Tinggi menerima bekalan air selama 24 jam diikuti tiada air selama 24 jam berikutnya secara berselang seli manakala pengguna-pengguna di Daerah Johor Bahru pula menerima bekalan air selama 24 jam dan diikuti tiada bekalan selama 48 jam berikutnya.

Melalui pengagihan air berjadual, pengeluaran Loji Rawatan Air Sg. Lebam dan Loji Rawatan Air Sultan Iskandar yang menerima sumber air mentah masing-masing daripada Empangan Sg. Lebam dan Empangan Sg. Layang telah dapat dikurangkan sebanyak 22 – 25%. Ini telah dapat memanjangkan tempoh hayat simpanan air di kedua-dua Empangan Sg. Lebam dan Empangan Sg. Layang.

SAJH telah mengerahkan seramai 254 orang pegawai dan kakitangan untuk melaksanakan bekalan air berjadual tersebut serta menyediakan sebanyak 25 buah lori tangki dan 171 buah tangki statik untuk memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna-pengguna yang terlibat.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

 

Dato’ Ismail bin Kasim
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
21 September 2015

Tinggalkan komen anda