Skip to main content
HomeViral

Rejal Arbee, Allahyarham Zainon Ahmad Tokoh Wartawan Negara

By 10 September 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Malaysiaaktif) — Bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Ketua Pengarang Bernama dan The Sun, Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Bekas Wartawan The News Straits Times dan Ketua Editor The Sun, Allahyarham Zainon Ahmad yang diwakili anaknya, Zahida Zainon hari ini dianugerahkan anugerah Tokoh Wartawan Negara berserta wang tunai sebanyak RM 30 ribu atas pengalaman dan sumbangan mereka dalam bidang kewartawanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa tokoh yang diraikan berada dalam kedudukan dan reputasi yang tinggi berdasarkan mutu yang ditunjukkan dalam karier mereka.

“Mereka bergelumang selama berdekad-dekad untuk memancarkan aspek penghidupan rakyat negara ini melalui bidang kewartawanan yang mereka ceburi,” katanya ketika berucap di Majlis Penanugerahan itu di Hotel Pullman, Kuala Lumpur.

Pengerusi Panel Hakim Tokoh Wartawan Negara, Profesor Datuk Seri Syed Arabi Syed Abdullah Idid pula berkata antara kriteria pemilihan tokoh wartawan itu adalah berdasarkan pencapaian yang diterima baik wartawan lain.

“Penerimaan oleh rakan sejawat juga menjadi faktor penting kerana tokoh wartawan ini melambangkan karier mereka dalam dunia kewartawanan,” katanya ketika berucap di Majlis itu.

“Kedua-dua tokoh yang diangkat pada petang ini sememangnya terkenal, menyumbangkan tenaga mereka sebagai pemberita malah mendapat pencapaian tinggi yang disanjung oleh kalangan wartawan”

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berpendapat sumbangan buah fikiran berkualiti yang disalurkan menerusi karya-karya antara faktor penting mereka dipilih.

“Karya kewartawanan wartawan berkenaan juga mesti memberi manfaat kepada khalayak dalam konteks pendidik,” katanya ketika berucap dalam majlis yang sama.

Antara wartawan veteran yang pernah menerima anugerah berkenaan, termasuk Tan Sri A Samad Ismail, Tan Sri Lee Siew Yee, Tan Sri Mazlan Nordin, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Liew Chen Chuan.

Penghargaan Tokoh Wartawan Negara tersebut diperkenalkan oleh Malaysia Press Institute(MPI) (dahulunya Institut Akhbar Malaysia) pada 1997 bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa seorang wartawan.

 

Tinggalkan komen anda