Skip to main content
Berita TempatanHomeViral

Peluang Wakil Negara Ke Pertandingan Permainan Siber

By 10 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 10 Sept (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini melancarkan pertandingan permainan dalam talian yang dikenali sebagai ‘Malaysian Cybergames’.

Pertandingan yang julung kali diadakan adalah anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan, Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDec), Suara Anak Muda 1Malaysia dan Tune Advertising.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak. Turut hadir Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia Arman Azhar Abu Hanifah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising Hafiz Roslan.

Sukan siber di Malaysia semakin berkembang pesat dengan beberapa e-atlet negara berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Penganjuran pertandingan ini adalah inisiatif kerajaan untuk menyokong sukan siber yang semakin berkembang di kalangan remaja pada hari ini.

‘Malaysian Cybergames’ bertujuan  mencari kumpulan anak muda serta golongan profesional berumur antara 18 tahun hingga 35 tahun untuk mewakili negara dalam pertandingan permainan siber di peringkat antarabangsa.

Dianggarkan sebanyak 300 kumpulan  anak muda terdiri daripada 1,500 peserta akan menyertai pertandingan ini yang turut menawarkan hadiah wang tunai sekiranya muncul juara.

Peringkat saringan pertandingan ‘Malaysian Cybergames’ ini akan dijalankan secara dalam talian di mana kumpulan yang terdiri daripada lima orang peserta yang berminat boleh mendaftar penyertaan di laman web www.malaysiacybergames.com.my .

Peserta akan bertanding sesame sendiri secara dalam talian untuk mencari lapan kumpulan terbaik untuk layak ke peringkat akhir yang akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada Disember.

Johan pertandingan permainan siber akan dipilih mewakili negara ke pertandingan di peringkat antarabangsa.

 

 

Tinggalkan komen anda