Skip to main content
EkonomiHome

Bajet 2016: 8 Langkah Penambahbaikan GST

By 23 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Aimi Huwaina

 Setelah hampir enam bulan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, lapan langkah penambahbaikan GST diumumkan semalam di dalam pembentangan Bajet 2016.

Menyedari beban GST yang ditanggung oleh pengguna perkhidmatan telekomunikasi prabayar, Bajet 2016 semalam membawa khabar gembira. Pengguna kad prabayar diumumkan akan mendapat kembali rebat tunai bersamaan dengan amaun GST yang dibayar. Ia akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar pengguna bagi pengaktifan mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

Selain itu terdapat tujuh (7) langkah penambahbaikan GST lain yang turut berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016.

Bagi langkah pertama, semua jenis Ubat Terkawal sebanyak 8,630 di bawah Racun Kumpulan A, B, C dan D meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung akan dikenakan GST pada kadar sifar. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda jenama ubat.

Langkah kedua, pengenaan GST pada kadar sifar turut dikenakan ke atas barangan beberapa makanan tertentu iaitu susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik; dhal (parpu) berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih; akar teratai dan sengkuang air; biji sawi; gula; dan mee kolok kering.

Langkah penambahbaikan ketiga melibatkan cadangan penurunan threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah Skim Kadar Rata daripada RM100 ribu kepada RM 50 ribu bagi membolehkan lebih ramai petani kecil mendaftar.

Di bawah langkah keempat, syarikat MRO dibenarkan menyertai Skim Pedagang Diluluskan dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang.

Langkah kelima dan keenam menerangkan pelepasan GST ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran; dan pelepasan GST ke atas pengimportan semula peralatan berkelayakan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaaan serta pajakan seperti pelantar minyak dan platform terapung.

Langkah ketujuh pula adalah pelepasan GST bagi perolehan bahan dan peralatan latihan oleh pusat latihan kemahiran di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

GST mula digunapakai secara menyeluruh di Malaysia pada April lalu dengan kadar 6% bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sebelum ini berada dalam kadar 10%.

Kini jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST hampir mencecah 400 ribu buah dengan kadar patuh serahan mencapai lebih 90 peratus.

 

Tinggalkan komen anda