Skip to main content
EkonomiHome

Khairy Sambut Baik Pengumuman Bajet 2016

By 23 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Malaysiaaktif) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2016 di Parlimen, petang tadi.

Bajet 2016 yang bertemakan “Mensejahterakan Kehidupan Rakyat” menggariskan Lima Keutamaan iaitu Keutamaan Pertama, “Memperteguhkan Ketahanan Ekonomi Negara”, Keutamaan Kedua, “Meningkatkan Produktiviti, Inovasi dan Teknologi Hijau”, Keutamaan Ketiga, “Mempersiaga Modal Insan”, Keutamaan Keempat, “Memperkasa Agenda Bumiputera” dan Keutamaan Kelima, “Meringankan Kos Sara Hidup Rakyat”.

Golongan belia juga tidak terkecuali mendapat manfaat daripada pengumuman Bajet 2016. Kerajaan telah memperuntukkan 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Langkah Keempat iaitu ‘Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO” melibatkan inisiatif berikut.

Pertama, sebanyak 280 juta ringgit diperuntukkan untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara. Kedua, 50 juta ringgit diperuntukkan untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan.

Seterusnya, 145 juta ringgit diperuntukkan untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur.

Tambahan pula, sebanyak 75 juta ringgit diperuntukkan untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit.

Selain itu, sebanyak 22 juta ringgit turut diperuntukkan untuk membina dua Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan dan 360 juta ringgit telah diperuntukkan untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20 ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.

Peruntukkan ini disambut baik oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui akaun Twitter beliau, “Keseluruhannya, [Bajet 2016] baik untuk bidang sukan. Mengetengahkan: Persiapan Sukan SEA [2017] dan [Pembangunan] Podium [Sukan Elit].”

Tahun lalu, Bajet 2015 memperkenalkan Skim Perumahan Belia bagi pembelian rumah di bawah RM500,000  melibatkan golongan berumur 25-40 tahun yang sudah berkahwin dan pendapatan isi rumah pula kurang daripada RM10,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum 35 tahun.

Di bawah strategi yang sama, ‘Membangun Program Transformasi Belia Negara’, Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi membiayai tiga projek perintis di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam usaha mewujudkan Bandar Belia 1Malaysia bertujuan untuk membolehkan satu ekosistem komprehensif disertai oleh belia untuk meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan.

 

 

Tinggalkan komen anda