
PANTAI REMIS, 11 Okt — Isteri jemaah haji Malaysia, Abdul Muluk Ishak, 71, yang dilaporkan hilang semasa kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah bulan lalu, meninggal dunia di Makkah pada Sabtu malam.
Embon Ibrahim, 64, yang menghidap radang paru-paru meninggal dunia pada 10 malam (5 petang waktu Makkah) selepas menerima rawatan selama lebih kurang empat minggu di sebuah hospital yang diuruskan Tabung Haji (TH) di Makkah.
Pasangan haji berkenaan yang sepatutnya pulang ke Malaysia pada 30 Sept lalu bagaimanapun dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan selama dua minggu selepas mendapati keadaan Embon yang tidak sihat dan dijadual pulang esok, 12 Okt.
Anak ketiganya, Faridatul, 39, berkata beliau terkejut menerima berita daripada abangnya, Abdul Rahim, 42, kira-kira pukul 10.30 malam mengenai pemergian ibunya di Tanah Suci Makkah, selepas abangnya itu mendapat maklumat daripada pihak pengurusan TH di sana.
“Kami baru sahaja berasa gembira dan lega kerana abah ditemui selamat selepas hilang beberapa hari semasa kejadian kren tumbang bulan lalu yang meragut banyak nyawa.
“Bagaimanapun, berita kedua yang kami terima ini lebih menyedihkan kerana kami kehilangan emak setelah lebih tiga minggu kami gagal menghubunginya,” katanya.
Faridatul berkata kali terakhir beliau dan keluarga menghubungi Embon pada 16 Sept iaitu beberapa hari selepas Abdul Muluk ditemui selamat.
“Kami memang diberitahu oleh pihak pengurusan TH yang emak dimasukkan ke hospital kerana mengalami batuk yang teruk.
“Bagaimanapun kami gagal menghubunginya termasuk abah, mungkin disebabkan kedua-dua mereka tidak tahu menggunakan telefon bimbit,” katanya.
Faridatul berkata sejak emaknya berada di Makkah, beliau mendapati ibunya sering batuk dan suaranya kedengaran agak lemah di dalam telefon.
“Kami memang ada diberitahu oleh rakan-rakan emak di sana yang emak tidak berapa sihat dan badannya kurus tetapi kami tidak menyangka dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.
Anak bongsu pasangan tersebut, Abdullah, 28, berkata dia berasa sungguh sedih kerana segala persediaan untuk menjemput ibu bapanya itu di lapangan terbang, esok, telah disiapkan.
“Saya ingatkan dapat melepaskan rindu berjumpa kedua-dua mereka esok, tetapi nampaknya hanya abah yang pulang bersama beg bagasi emak.
“Emak juga berjanji untuk meminang rakan wanita saya sebaik dia pulang dari Makkah, nampaknya hajat dia tidak kesampaian,” katanya.
Pasangan haji berkenaan bagaimanapun telah selesai menyempurnakan kesemua rukun haji.
Dalam kejadian pada 11 Sept lalu, Abdul Muluk tersesat ke hotel penginapan jemaah Thailand selepas selesai solat Jumaat bersama tiga rakan sebiliknya dan kehilangannya membimbangkan anggota keluarga.
— BERNAMA