
Oleh Mahazir (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Malaysiaaktif) — Keadaan jerebu di ibu negara terus merosot pada petang ini dengan banyak kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.
Bacaan IPU pada pukul 5.00 petang tadi yang dicatatkan dalam laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan tahap bacaan Batu Muda (127), Cheras (109), Putrajaya (118) dan hampir semua kawasan lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan tahap bacaan IPU Tidak Sihat.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan semua sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu ditutup pada Rabu, 21 Oktober.
Tinjauan Malaysiaaktif petang tadi memdapati Menara KL hilang dari pandangan jarak 100 meter dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Jalan Hang Tuah.
IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
JAS menggunakan bacaan purata yang dicerap dalam masa 24 jam, sementara Singapura menggunakan bacaan PM2.5 dalam pengukuran PSI sejak 2014.