
Oleh Mohd Fazli Mohd Zulkifli
KUANTAN, 12 Oktober (Malaysiaaktif) — Penduduk Kuantan yang bekerja di sekitar Kawasan Perindustrian Gebeng menghadapi kesukaran setiap hari berikutan kesesakan disebabkan oleh lori-lori pengangkut bauksit yang bertali arus menuju ke Pelabuhan Kuantan.
Tinjauan oleh Malaysiaaktif di lokasi hari ini menyahihkan dakwaan apabila mendapati laluan amat tercemar dengan debu-debu bahan yang diangkut ratusan lori.
Pengguna jalan raya juga bimbang kerana sejak masalah tersebut menonjol, banyak kemalangan berlaku, terutama pada waktu puncak disebabkan kesesakan dan keadaan jalan yang berlubang.
Seorang pegawai pemasaran, Rosmawati Hamdan mengadu keretanya pernah dihimpit oleh sebuah lori angkut bauksit, tetapi pemandu lori tersebut tidak mempedulikan apa yang berlaku.
Sewaktu tinjauan oleh Malaysiaaktif, tiada kelihatan kelibat agensi penguatkuasaan, sama ada polis atau pun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).