
Oleh Indera Putera & Wan Muhamad Zikri
KANGAR, 12 Okt. (Malaysiaaktif) — Permainan Sepak Raga Tuju popular dikalangan penduduk Perlis hingga mampu menarik pelbagai lapisan umur dan latarbelakang.
Sama ada di perkarangan stadium, Jabatan Belia, Behor Lateh, Bintong, Sungai Baru, Wang Ulu, Santan, Taman Hijrah, Tambun Tulang, Chemumar, Pauh, Arau, Bukit Kubu atau Kuala Perlis, permainan ini sentiasa dapat disaksikan, terutama pada sebelah petang.
Pengerusi Kelab Sepak Raga Tuju Negeri Perlis, Ahmad Syargawi Hj Omar berkata, setiap lokasi disertai kira-kira 50 orang pemain pada hari biasa dan kira-kira 100 ke 200 orang pada hujung minggu.
Beliau berkata, “Kelab Sepak Raga Tuju Negeri Perlis juga telah menganjurkan beberapa karnival permainan ini ,termasuk karnival terbesar yang diadakan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, menarik lebih 1,000 orang peserta dari seluruh negara Ogos lalu sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.”
Ahmad Syargawi berkata sukan tersebut juga mendapat sambutan amat menggalakkan pada Hari Sukan Negara pada 10 Oktober lalu dengan penglibatan kira-kira 500 orang peserta.
Menurut beliau, Kelab Sepak Raga Tuju Negeri Perlis akan menganjurkan pelbagai karnival pada tahun hadapan bagi menyemarakkan lagi sukan ini di kalangan masyarakat di samping membantu menghindarkan golongan belia daripada aktiviti tidak sihat dan tidak berfaedah.