
Oleh Dila Khamde
PUTRAJAYA, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam pembentangan bajet pertama untuk Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengumumkan beberapa agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Antaranya, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos sebanyak RM16.1 bilion.
Di Sabah, pembinaan fasa 1 lebuhraya bebas tol ini akan bermula pada 2016. Ia meliputi 706 kilometer dari Sindumin hingga ke Tawau dengan anggaran kos RM12.8 bilion.
Anak negeri Sarawak, Siti Noraini, 26, yang ditemubual pagi tadi di Putrajaya Sentral, berpendapat sumbangan Bajet 2016 kali ini banyak membantu. Dia mengambil lebuhraya tersebut sebagai antara yang dimaksudkan kerana membantu memudahkan sistem pengangkutan.
“Dahulu, jalan memang teruk. Kalau nak pergi jauh keluar dari kawasan bandar, perlu berfikir dua tiga kali dan kalau nak naik kapalterbang memang mahal. Dengan adanya lebuhraya , perjalanan menjadi lebih mudah.”
Selain itu, Siti Noraini juga berkata bantuan rumah panjang yang dilengkapi bekalan air dan elektrik juga sesuatu yang proaktif.
Dalam Bajet 2016, sejumlah 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit setiap unit.