
Oleh Azrul Hasan (Pulau Pinang)
BUKIT MERTAJAM, 13 Okt (Malaysiaaktif) — Empat buah gerai haram dirobohkan oleh Penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini hari ini.
Seramai 30 anggota penguatkuasa dan petugas MPSP menjalankan operasi meroboh gerai-gerai tersebut yang terletak di sekitar Permatang Rawa pagi tadi.
Operasi meroboh berjalan lancar dan terkawal dengan kawalan oleh 15 anggota Polis seawal pukul 8.30 pagi.
Jurucakap MPSP memaklumkan bahawa operasi meroboh itu dilakukan kerana pemilik gerai yang terlibat gagal mengosongkan kawasan berkenaan walaupun notis dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah hampir sebulan yang lalu.
Beliau berkata, mendirikan struktur binaan di tanah kerajaan atau tanah rizab tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa tempatan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara 1965.