Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Muhyiddin, Shafie Setuju Pelaksanaan SOSMA – Ambrose

By 13 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KOTA KINABALU, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua UMNO bahagian Penampang, Datuk John Ambrose mendakwa Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan antara individu yang telah bersetuju dengan pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Beliau berkata mereka telah menyatakan sokongan dengan mengundi terhadap pelaksanaan akta itu yang seterusnya telah digubal di Parlimen,

“Mereka, pada masa itu, tidak menentang undang-undang berkenaan atau bersuara untuk menentangnya,” katanya dipetik daripada sebuah portal internet.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa Shafie untuk menangani masalah yang lebih utama membabitkan kebajikan rakyat dan negara daripada membuang masa terus mengkritik syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad .

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan Muhyiddin dan Shafie merupakan antara individu yang hadir membincangkan  isu 1MDB pada mesyuarat Kabinet.

“Jadi mereka tidak boleh kata tidak tahu. Malah, Muhyiddin mempengerusikan satu daripada mesyuarat Kabinet apabila isu 1MDB dibincangkan dan semua isu telah diperjelaskan,” katanya.

“Sekarang Shafie dan Muhyiddin bercakap seolah-olah mereka tidak dimaklumkan mengenai fakta berkaitan 1MDB dan tidak menjadi anggota Kabinet yang meluluskan program rasionalisasi dan pengurangan hutang.”

Sebelum ini, beberapa pemimpin Barisan Nasional bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan satu sidang media khas menentang penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Antara yang hadir adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Mereka menyatakan tanda solidariti dengan menyelar penggunaan SOSMA terhadap dua individu tersebut yang didakwa atas tuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia.

 

Tinggalkan komen anda