
Oleh: Faris Fuad
PUTRAJAYA, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak sebarang dakwaan mengatakan beliau menggunakan wang kerajaan bagi melangsungkan resepsi perkahwinan anak lelakinya di Indonesia.
Ahmad Zahid berkata perbelanjaan resepti itu ditanggung oleh besannya apabila menyedari bahawa beliau akan membuat lawatan kerja ke Indonesia 18 hingga 21 September.
“Anak lelaki saya berkahwin dengan seorang gadis Indonesia di Kuala Lumpur sebelum itu. Kemudian, besan saya, yang mendapat tahu tentang lawatan rasmi saya, menganjurkan resepsi bagi anak perempuannya untuk diadakan pada petang 19 Sept.
“Saya tidak membelanjakan apa-apa WANG dalam penganjuran resepsi perkahwinan itu sebab ia bukan majlis saya. Ia (majlis) besan saya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau turut mempersoalkan komen seorang penulis blog, Shahbudin Husin, yang mengatakan pengaturan masa lawatan rasminya yang dilihat mencurigakan.
“Saya tidak menggunakan atau menyalahgunakan dana awam, Shahbudin yang dikenalinya sejak 1987, sepatutnya berjumpa beliau untuk mendapatkan penjelasan, bukan mempersoalkannya secara terbuka.”
Penulis blog itu telah dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya untuk siasatan lanjut berkenaan kandungan tulisan blognya.
Dia disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang meliputi penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.