Skip to main content
HomeViral

Tiada Tarikh Tamat Mencari Tujuh Murid Orang Asli SK Pos Tohoi

By 1 Oktober 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

LIPIS, 1 Okt  — Kerajaan tidak menetapkan tarikh tamat dalam operasi pencarian tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang Kelantan, yang hilang sejak 23 Ogos lalu, meskipun kehilangan mereka genap hari ke-40 khamis.

Timbalan Menteri II Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata operasi pencarian itu akan diteruskan sehingga berjaya, kerana ia adalah tanggungjawab dan tanda keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli.

“Kita tidak mahu sebut berapa kos yang telah dibelanjakan dalam usaha mencari anak-anak Orang Asli yang hilang ini, tetapi ini bukan belanja yang kecil.

“Namun, kita tidak kisah berapa banyak yang kita habis asalkan matlamat kita tercapai dan kita dapat berjumpa kembali dengan anak-anak yang hilang ini,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Ramah Mesra Warga Sekolah Kebangsaan Lanai dan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (Prosdet) Kampung Pantos di sini, yang turut disertai Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Isa Abdul Hamid.

Beliau menambah kesungguhan kerajaan dalam mencari kanak-kanak itu juga dapat dilihat pada jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan kawasan pencarian daripada kawasan hutan kepada bandar kecil berhampiran seperti Gua Musang dan Cameron Highlands.

Selain itu, kawasan pencarian di hutan berbukit Pos Tohoi juga telah diperluaskan dari radius 80 kilometer (km) kepada radius 140km, tambahnya.

Sehubungan itu, Ahmad Jazlan mahu ibu bapa kanak-kanak itu untuk bersabar dan yakin bahawa kerajaan tidak mengambil mudah dalam isu berkenaan, meskipun terdapat tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan bertindak sebaliknya.

“Tentang kehilangan ini, mereka boleh berkata apa yang mereka mahu…tetapi kerajaan telah melakukan sedaya upaya. Jadi mereka mesti hargai sedikit jasa yang dilakukan hampir 400 anggota pelbagai agensi yang saban hari berada di sana.

“Ada (anggota) yang hanya selepas 10 hari baharu balik. Mereka bertungkus-lumus. Tuduhan seperti ini sebenarnya sengaja untuk mengelirukan masyarakat dan beri tanggapan negatif kita sengaja abaikan kebajikan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Tujuh kanak-kanak itu terdiri daripada enam murid perempuan dan seorang murid lelaki Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Mereka pada mulanya dikhuatiri tersesat di hutan dan setakat ini operasi menjejak dan mengesan mereka membabitkan lapan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan unit Senoi Praaq daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terdiri daripada Orang Asli yang mempunyai kemahiran dalam operasi di hutan.

Sementara itu, dalam lawatannya, Ahmad Jazlan menasihatkan masyarakat Orang Asli memberi penekanan dalam bidang pendidikan supaya anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam menuju ke arah negara maju pada tahun 2020.

Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai prasarana dan kemudahan untuk anak-anak Orang Asli mencapai kejayaan, termasuk kemudahan memasuki sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah seliaan KKLW selain memberi peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda