Skip to main content
EkonomiHomeViral

Uber Menyalahi Undang-Undang, Tiada Permit Sah

By 28 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memaklumkan penggunaan Teksi Uber menyalahi undang-undang berikutan tiada lesen sah.

Beliau berkata pihak terbabit sepatutnya memohon permit daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sebelum menjalankan perkhidmatan teksi itu.

“Tempahan melalui aplikasi Uber yang bertujuan memadankan pengguna dengan pemandu teksi yang tidak berdaftar dan tidak berlesen dengan SPAD yang menggunakan kenderaan persendirian atau sewa adalah satu kesalahan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Penggunaan kenderaan persendirian adalah bertujuan untuk kegunaan peribadi dan ianya tidak boleh digunakan untuk tujuan komersil bagi menjana pendapatan melalui upah atau tambang.”

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bersama SPAD akan mengambil langkah sewajarnya bagi membendung masalah seperti ini daripada terus berlaku.

Beliau berpendapat pertemuan dengan pihak pengurusan Uber sendiri harus diaturkan segera untuk memastikan sistem industri perkhidmatan teksi tidak boleh sewenang-wenangnya dipermainkan.

“Dalam jangka waktu panjang, SPAD juga sedang mempertimbangkan dan meminda akta serta merangka polisi baru bagi mengawal selia dan memantau sistem tempahan teksi melalui aplikasi pintar atau mudah alih serta memastikan industri teksi di Malaysia berupaya menyediakan perkhidmatan terbaik selamat dan memuaskan kepada pengguna,” katanya lagi

Penggunaan kenderaan yang dikenali sebagai teksi Uber adalah satu kesalahan berdasarkan peruntukan Seksyen 16 Akta Perkhidmatan Awam Darat 2010

Perkhidmatan kenderaan awam tersebut  hanya boleh dijalankan untuk  mereka yang memiliki lesen pengendali oleh SPAD.

Sebelum ini, ratusan pemandu teksi menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap terhadap syarikat perkhidmatan pengangkutan antarabangsa, Uber yang dilihat telah menjejaskan pendapatan mereka.

 

Tinggalkan komen anda