Skip to main content
EkonomiHomeViral

Wajarkah Bantuan Persekolahan Dihadkan?

By 28 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 28 Okt (Malaysiaaktif) — Hampir seminggu selepas Bajet 2016 diumumkan, ia terus mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Ada yang menyambut baik kerana ia dilihat begitu menitikberatkan kesejahteraan rakyat. Namun ada juga yang mengkritik dan menolak beberapa keputusan kerajaan yang dilihat tidak relevan dan sukar diterima.

Antara isu yang paling hangat diperkatakan adalah mengenai keputusan kerajaan memberikan bantuan persekolahan sebanyak RM100 hanya kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM3000 ke bawah mulai Januari 2016.

Pelbagai persoalan timbul tentang keputusan tersebut. Ramai yang tertanya, selepas beberapa bulan kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), ke mana perginya hasil kutipan cukai tersebut.

GST dikatakan antara alternatif terbaik kerajaan dalam memastikan ekonomi negara terus berada dalam keadaan stabil. Tambahan pula kerajaan menjanjikan pulangan hasil kutipan GST kepada rakyat. Namun apa yang dilihat dalam Bajet 2016 menunjukkan sebaliknya apabila berlaku sekatan atau had dalam pemberian bantuan kepada rakyat.

Menurut seorang kakitangan awam, Fauzi Syafie, 50, keputusan kerajaan menghadkan pemberian bantuan RM100 begitu mengecewakan dan sukar diterima.

“ Jangan disekatlah. Macam dahulu tidak ada GST tapi kerajaan dapat bagi kepada semua. Sekarang ini sudah laksanakan GST tapi ada had pula. Tidak boleh lah begini. Nampak seperti ada yang tidak kena pada GST,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Najib Mohd Yassin, 34, keputusan kerajaan menghadkan bantuan persekolahan sebanyak RM100 sedikit sebanyak menguji kebijaksanaan ibu bapa menguruskan perbelanjaan.

“Kalau ikutkan memang kecewalah, rasa hampa. Berdasarkan kutipan GST yang diperoleh itu kita ingat kerajaan akan tambah peruntukan bantuan sebaliknya lain pula yang jadi. Jadi apabila sudah tidak dapat lagi bantuan, keyakinan rakyat terhadap kerajaan tu sedikit menurun lah.

“Bantuan RM100 ini memang tidak cukup tapi ia sedikit sebanyak membantu ibu bapa. Bagi saya, ia bergantung kepada bagaimana kita sebagai ibu bapa menguruskan perbelanjaan harian,” tambahnya.

Semasa pembentangan Bajet 2016 Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 bagi setiap murid pada setiap awal atau hujung tahun, hanya akan diberi kepada mereka yang penjaganya berpendapatan bawah RM3,000 sebulan mulai sesi 2016.

 

Oleh Nor Fakruddin Ab Rashid,  Mohd Firdaus Abd Latif, Noriah Abu Bakar
Nur Hamizah Abd Kadir & Mohd Alfan Abd Halim

 

Tinggalkan komen anda