Skip to main content
EkonomiHomeRencana & PendapatViral

Kerajaan Perlu Faham Perokok Ada Hak Sebagai Pembayar Cukai

By 13 November 2015Tiada komen3 minit bacaan
Oleh Admin

Buat masa ini topik tentang ‘vaping’ hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat dan kerajaan kerana populariti kaedah tersebut yang digunakan sebagai alternatif untuk menceraikan diri daripada tabiat merokok.

Disebabkan kebanyakan perokok tidak dapat menghentikan tabiat merokok dengan mendadak, maka alternatifnya ialah melalui ‘vaping.’

Menurut Prof Mohamed Ghouse Nasuruddin dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kementerian Kesihatan menganggap bahawa vaping berbahaya kepada kesihatan, justeru tindakan untuk mengharamkannya. Bagaimana pun, Kabinet tidak bersetuju dan sebaliknya mencadangkan supaya pengguna dididik tentang kesan-kesan berbahaya vaping.

“Kabinet tidak bersetuju dan sebaliknya mencadangkan supaya pengguna dididik tentang kesan-kesan berbahaya vaping”

Pihak kementerian kemudian menggunakan Akta Racun 1952 yang mengisytiharkan bahawa nikotin dadah berjadual yang hanya boleh dijual oleh ahli farmasi. Langkah itu disusuli dengan tindakan membuat serbuan ke atas premis-premis menjual vape yang seterusnya menjejaskan sumber kehidupan ramai usahawan dalam industri rokok elektronik.

Tindakan kerajaan itu dilihat sebagai terlalu keras dan provokasi terhadap peniaga dan perokok. Walau bagaimanapun pihak kementerian berpendapat tindakan mereka itu memang wajar dengan alasan mereka bertanggungjawap ke atas kesihatan rakyat negara ini.

Kenyataan tersebut dianggap sebagai ironi kerana  sejak sekian lama kementerian membenarkan rakyat merokok walaupun fakta membuktikan bahawa ia penyebab kanser dan lain-lain masalah pernafasan. Pihak kementerian turut mengecualikan peminuman arak dan bir yang juga terbukti berbahaya kerana boleh menyebabkan sirosis hati dan kegagalan buah pinggang. Tidak kurang penting juga masalah-masalah membabitkan sosial dan masalah seksual kerana kesan alkohol.

Pihak berwajib tahu mereka tidak boleh mengharamkan merokok dan alkohol kerana kedua-duanya komponen penting penyumbang ekonomi negara, selain menyediakan pekerjaan serta perangkaian bersama industri-industri pengeluaran dan perkhidmatan.

Kementerian juga, dilihat tidak tegas atau serius untuk betul-betul mengenakan tindakan undang-undang ke atas mereka yang merokok. Mereka sekadar meluluskan undang-undang yang mewajibkan syarikat tembakau meletakkan imej-imej pelbagai bentuk kesan kanser, termasuk kapsyen bahawa merokok membahayakan kesihatan dan sebagainya. Segala ini tidak dipedulikan oleh perokok.

“kerajaan tidak konsisten dalam pendirian tentang segala ancaman kepada kesihatan disebabkan merokok, minum arak atau vaping”

Ketara benar kerajaan tidak konsisten dalam pendirian tentang segala ancaman kepada kesihatan disebabkan merokok, minum arak atau vaping. Buat masa ini, mereka memburu pengguna vape yang cuba mengatasi ketagihan tembakau, atau setidak-tidaknya itulah alasan mereka, walaupun terdapat anak anak gadis dan kanak-kanak dengan sengaja menggunakan vape.

Ramai yang menggunakan vape bukan disebabkan fakta kesihatan, tetapi kerana rokok begitu mahal. Harga RM17 untuk sekotak rokok memang beban yang berat.

“ramai juga yang membeli dan menghisap rokok haram kerana rokok ‘halal’ tidak lagi mereka mampu”

Keadaan sebegini mendorong ramai perokok tegar menjimatkan belanja untuk keperluan lain sekadar untuk membolehkan mereka terus merokok. Dalam pada itu tidak kurang ramai juga yang membeli dan menghisap rokok haram kerana rokok ‘halal’ tidak lagi mereka mampu.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu memahami bahawa perokok dan rakyat yang membayar cukai juga mempunyai hak. Justeru itu, Prof Mohamed menggesa supaya satu jalan tengah diikhtiarkan supaya perokok tidak dianggap sebagai satu masyarakat yang berpenyakit – walaupun mungkin ada kebenarannya.

Beliau berkata kita perlu menerima hakikat bahawa selagi industri rokok memberikan hasil, pekerjaan dan menjanakan peluang-peluang ekonomi lain, Malaysia tidak akan bebas daripada rokok.

Justeru itu, kerajaan perlu cuba mencari jalan terbaik untuk menangani keadaan ini dengan cara menjaga kepentingan ekonomi dan kesihatan rakyat tetapi dalam masa yang sama tidak mengenakan tindakan ke atas perokok, tetapi sebaliknya mencari jalan lain.

 

Tinggalkan komen anda