
Oleh Muhamad Nawawi Kasa (Pendang)
PENDANG, 26 Nov (Malaysiaaktif ) — Kepakaran menghasilkan senjata warisan merupakan bakat luar biasa kerana tidak ramai yang diperturunkan kemahiran dan sentuhan halus untuk setiap ciptaan.
Bagi tukang mahir keris dan pisau ia bagaikan obsesi yang boleh menghantui jiwa dari saat mula besi dicanai, hulu diukir dan sarung dibentuk hingga menjelmakan sebuah hasil yang mengagumkan.
Inilah juga hakikatnya dalam kehidupan seorang pembuat sarung pisau dan keris, seperti Mohamad Haji Shari sejak empat tahun dahulu.
Beliau yang hanya bermula dengan minat kepada hasil kerja seni ini terus berusaha mencuba hingga berjaya membuat sendiri dan memasarkan hasil tangannya mengikut permintaan pelanggan.
Bagi Ahmad Zamni Rofaat, 43, beliau mula mendalami dunia ukiran secara serius selepas didedahkan kepada seni mengukir beberapa tahun dahulu hingga kini bidang tersebut menjadi begitu serasi dengan jiwanya.
Bermula dari situ, minat kepada kehalusan seni ini menguasai dunianya hingga terdorong untuk memulakan bengkel ketukangan sendiri di rumahnya di Kampung Paya Kechut di sini.
Menurutnya, bidang itu sekarang menjadi sumber rezeki dan pendapatan tetap yang memberi pulangan agak lumayan.
Bakat Ahmad Zamni tidak hanya terhad kepada pembuatan sarung parang atau keris, tetapi juga paip tembakau pelbagai reka bentuk.
Bagi Haji Harun Sulaiman, 62, seni ukir Melayu dalam mana kemahiran dan kepakaran menghasilkan sarung parang, pisau dan keris tergolong, perlu dilestarikan. Beliau yang berkecimpung dalam bidang ini sejak 2009 menganggap ia tidak hanya berdiri bebas di atas kemahiran, tetapi juga memerlukan komitmen jiwa dan cinta.
Pembuat sarung juga harus bijak memilih jenis kayu bagi memastikan ia bertepatan dengan pilihan pelanggan kerana setiap jenis kayu mempunyai corak serta warna tersendiri yang berbeza dan sekali gus menjadikannya lebih eksklusif.
Haji Harun pandai mengenal pasti jenis kayu yang terbaik, seperti Kayu Halban Belak , Serian Batu, Kemuning Emas, Kemuning Ketenga dan Hitam.
Ketika ditemu bual oleh Malaysiaaktif di bengkel yang terletak di Kampung Buluh Lima baru-baru ini, beliau berkata setiap pengusaha barangan kraf tangan ini perlu mempunyai sasaran dalam mengkomersialkan setiap hasil seni.
Sementara itu, di penjuru lain Ain Tong a/l Din In, 68, yang mewarisi seni pertukangan besi dari ayahnya 40 tahun lalu sekarang menurunkan pula kepada anaknya Silkkhiema a/l Ain Thong, 39 untuk meneruskan tradisi turun temurun itu.
Seorang lagi pengusaha, Mohammad Nizam Ismail, 40, menjalankan kerja pertukangan kayu di sebuah bengkel di Kampung Keda Lahar Tunjung .
Beliau memasarkan produknya melalui media sosial dan jualan secara tempahan dari pelanggan.
Mereka ini antara aktivis seni ketukangan setempat yang bertindak memupuk kesinambungan warisan sebagai pemangkin seni dan ekonomi setempat.