
Oleh Mohd Zihan Zari (Kedah)
ALOR SETAR, 28 NOV (Malaysiaaktif) — Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah telah menubuhkan Pasukan Tempur Tanpa Senjata (TTS) yang pertamanya.
Menurut Pengarahnya, Mohamad Nazer Mustafa, Pasukan TTS AADK Negeri Kedah ditubuhkan Mac lalu dan ditonjolkan secara rasmi pada 12 April sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pasukan ini membuat demonstrasi ketangkasan mereka yang pertama di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Lela Pahlawan, Kulim.
Menurut Mohamad Nazer, kumpulan anggota asal seramai 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan AADK seluruh negeri Kedah mendapat bimbingan khusus daripada dua orang jurulatih dari Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim.
Tambah beliau, tujuan penubuhan Pasukan TTS ialah untuk melengkapkan dan memperkasakan anggota unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kedah dengan seni mempertahankan diri selaras dengan cabaran dalam melaksanakan penguatkuasaan, terutama semasa operasi mengesan dan menahan penagih dadah.
“Kami berharap pasukan ini dapat mempertajamkan kemahiran dan kemampuan di samping mengekalkan tahap kecergasan mereka. Selain itu adalah menjadi harapan pihak pengurusan, agar mereka dapat dibekalkan peralatan yang bersesuaian bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan fungsi,” kata Mohamad Nazer kepada Malaysiaaktif di sini.
Sementara itu, anggota TTS AADK Kedah, Mohd Ezzry Mustafa, berkata, anggota pasukan itu didedahkan dan diberi latihan khusus dengan pelbagai kepakaran dan kemahiran termasuk teknik tempur tanpa senjata bagi menghadapi sebarang ancaman dan kejadian luar biasa.”
Tambahnya, ancaman dan risiko yang dihadapi para anggota AADK semasa menjalankan tugas penguatkuasaan memerlukan keupayaan mempertahankan diri.
Baru-baru ini, sempena majlis penutupan Pertandingan Kawad Formasi dan Kreatif Peringkat Kebangsaan 2015 di Padang Kawad Klinik Cure & Care 1 Malaysia Tampin, pasukan ini dijemput membuat persembahan dengan pelbagai teknik mempertahankan diri seperti tumbukan , tapisan , tangkisan pisau, tangkisan kayu menggunakan T Baton, lakonan situasi menangkap penagih dan gimik memecahkan atap genting.