
Oleh Awangku Shoffian Pg.Minggu (Sabah)
MENUMBOK, 1 Nov (Malaysiaktif) – Sambutan luar biasa diberikan oleh masyarakat sekitar Daerah Kecil Menumbok dan Kuala Penyu, Beaufort Sabah pada Pesta Nelayan Menumbok ke 15 yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kecil Menumbok dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Sabah.
Pesta tiga hari ini berlansung 30 Oktober sehingga 01 November di Pantai Mempakul dan dirasmikan oleh Datuk Sairin Karno, Pembantu Menteri Pembangunan Pertanian dan Industri Makanan Sabah mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Sairin, Musa berharap pesta ini memberi peluang kepada para nelayan kreatif menghasilkan produk berasaskan sumber laut untuk dikomersilkan, dan seterusnya menjana sumber pendapatan lumayan kepada penduduk setempat.
“Penganjuran Pesta Nelayan Menumbok tahun ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Negeri amat mengiktiraf sumbangan dan jasa yang diberikan oleh nelayan dan masyarakat Daerah Kecil Menumbok kepada ekonomi Sabah Khususnya,” katanya lagi.
Pelbagai acara diadakan sepanjang pesta ini, termasuk gerai jualan, pameran dan hiburan persembahan artis-artis tempatan melalui konsert carta lagu paling manang ‘Sabah FM 2015.”
Turut diadakan, Pertandingan Perahu Nelayan, Pertandingan Mendayung Perahu, Bintang Karaoke, Tarik Tali, Pertandingan Bunyi Burung, dan Memukat.