Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kerajaan Yakin Penerima BR1M Belanja Saluran Betul – Chua

By 2 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Malaysiaaktif) –Kerajaan yakin penerima Wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) akan membelanjakan wang itu di saluran yang sepatutnya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berpendapat penerima, terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan membelanjakan wang untuk membeli barang keperluan asas untuk kelangsungan hidup.

“Pada masa ini, ia terpulang pada pilihan penerima, dan kita yakin penerima dari golongan B40, kebanyakan mereka perlukan wang ini untuk membeli barang keperluan asas,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Chua menegaskan pihaknya tidak akan menukar pemberian BR1M kepada bentuk baucar atau subsidi untuk menghindarkan masalah seperti pasaran gelap.

Tambahan itu, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu dalam meningkatkan taraf hidup orang ramai supaya mereka dapat merasai pendapatan yang lebih tinggi.

“Dari segi peningkatan pendapatan golongan B40, dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia Ke-11, jelas menunjukkan kerajaan ingin menumpukan bagaimana untuk meningkatkan daya kemahiran rakyat melalui program seperti latihan vokasional dan Skim Latihan 1Malaysia, serta kenaikan gaji minimum.

“Ini adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan Pekali Gini (Gini Coefficient),” katanya lagi.

Chua memaklumkan selain bantuan BR1M, pihaknya telah berjaya menyediakan Bantuan Persekolahan, Baucar Buku 1Malaysia, kemudahan Klinik dan Kedai Rakyat 1Malaysia, serta menaikkan had pelepasan cukai bagi kumpulan isi rumah berpendapatan sederhana (M40).

Kerajaan memperuntukkan hampir RM14 bilion untuk bantuan BR1M yang memanfaatkan keseluruhan hampir 7.4 juta penerima selama empat tahun sejak pelaksanaannya pada 2012.

 

Tinggalkan komen anda