
Oleh Fauzrina Hj Bulka & Muhammad Zakry Chan Abdullah (Melaka)
MELAKA 5 Nov (Malaysiaaktif) — Cabaran paling besar bagi golongan kurang upaya (OKU) kebiasaannya adalah mendapat peluang pekerjaan. Faktor yang menghalang OKU mendapat pekerjaan termasuk sikap negatif dan diskriminasi ekoran kurang kesedaran tentang keupayaan golongan tersebut.
Berbeza dengan Melaka, kerajaan negeri memastikan hak dan penyertaan mereka disamaratakan dalam pembangunan masyarakat. Ini terbukti apabila penjawat awam di Jabatan Penerangan Negeri Melaka merangkap Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan, Hashim Ishak dilantik menjadi ahli majlis oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron telah mengumumkan perkara ini selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Melaka yang lepas.
Melalui Akta Orang Kurang Upaya 2008, golongan tersebut berpeluang membangun dan menggunakan potensi kreatif, artistik dan intelek mereka bukan hanya demi kepentingan diri malah untuk memperkayakan masyarakat.
“Saya berterima kasih dan terharu di atas tindakan Kerajaan Negeri melantik saya menjadi ahli majlis. Keyakinan Ketua Menteri terhadap golongan OKU merupakan satu penghargaan yang tinggi” kata Hashim.
“Harapan saya agar saya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai wakil pihak OKU dan mampu membawa harapan mereka untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan prasarana dan infrastruktur yang mesra OKU dan mengikut standard 1184,” ujarnya lagi.
Selain beliau, terdapat empat orang lagi OKU yang dilantik di setiap PBT di negeri Melaka, iaitu Norhisham Karim sebagai ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Johari Omar sebagai ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Jasmi Tegol sebagai ahli Majlis Perbandaran Jasin.
Majlis angkat sumpah sebagai ahli majlis akan berlangsung pada akhir tahun ini.