
Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)
BEDONG, 29 Nov (Malaysiaaktif) — Ribut angin dan hujan lebat lewat petang semalam menyebabkan beberapa kejadian pokok besar menimpa rumah di sini.
Penghulu Mukim Bujang, Zamri Jamaluddin, berkata, kejadian pada kira-kira pukul 5.30 petang berlaku hanya sekitar lima minit tetapi kesan tidak kurang serius, walaupun tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Kawasan paling teruk terkesan ialah Taman Sinar Mentari, Kampung Haji Ngah,Taman Rasa Sayang, Kampung Lebai Ali, Kampung Zainol Abidin, Batu 1, Simpang Harvard dan Kampung Lombong membabitkan 30 buah rumah yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.
Berikutan itu, Zamri berharap supaya Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dapat menjalankan kerja-kerja pemangkasan pokok besar, terutama di Taman Sinar Mentari.
Seorang penduduk, Azizah Said, 57 yang tinggal di Taman Sinar Mentari berkata bahagian depan rumahnya dihempap pokok besar dan berharap ada pihak yang memberi bantuan untuk membaiki kerosakan kerana beliau tidak mampu.
Turut mengalami masalah yang sama, Mutte A/P Muthusamy, 57, yang menyifatkan kejadian ribut itu sebagai amat menakutkan.
Manakala, Zamberi Shamsool Ambiya, 43, dari Kampung Lebai Ali, pula berkata, atap pada bahagian dapur rumahnya rosak dan diterbangkan angin ribut. Dia juga berharap mana-mana pihak membantu membaiki rumahnya dengan kadar segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gurun, Datuk Dr. Leong Yong Kong yang melawat lokasi kejadian pada pukul 8.00 semalam memberitahu Malaysiaaktif bahawa penduduk yang terlibat telah membuat laporan di Balai Polis Bedong.
Katanya lagi, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah masih menjalankan bancian untuk memastikan nilai sebenar kerosakan.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kuala Muda, Lt Muda (PA) Azahar Ahmad,berkata, pihaknya menerima satu panggilan kecemasan kejadian kes pokok tumbang pada kira-kira 5.46 petang di Kampung Lombong dan satu jentera bersama 10 anggota diketuai oleh Sarjan Mejar (PA) Muhd Fairus Rosdi dikerahkan ke lokasi.
Beliau berkata, pemotongan pokok tumbang telah dilakukan oleh anggotanya dengan bantuan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan MPSPK.