
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
PUTRAJAYA, 17 Nov (Malaysiaaktif) – – Seramai 38, 344 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan 5A menunjukkan peningkatan lebih 0.76% berbanding 2014.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Sri Dr. Khair Mohamad Yusof pencapaian keseluruhan 455, 929 yang menduduki UPSR 2015 meningkat sebanyak 0.02 mata, iaitu daripada Gred Purata Nasional (GPN) 2.29 tahun lalu kepada 2.27 tahun ini.
Sementara itu, peratusan calon Cemerlang (Semua A) di bandar dan di luar bandar turut meningkat sebanyak 0.88% dan 0.62% berbanding tahun lalu.
Tambahnya, pada tahun ini calon UPSR di semua sekolah perlu menduduki lima kertas utama iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains manakala bagi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil perlu menduduki dua subjek tambahan iaitu pemahaman dan penulisan dalam bahasa masing-masing.
Beliau ditemui dalam sesi pengumuman analisis keputusan UPSR yang diadakan di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya pagi tadi.
Calon UPSR boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi tadi.