
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Antara perkembangan negatif dalam kehidupan masyarakat Malaysia hari ini ialah berlakunya peningkatan jumlah pesakit mental. Pada tahun 2007, jumlah individu yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar psikiatri di hospital kerajaan adalah sebanyak 324,344. Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-3 (2006) mendapati mereka yang mengalami masalah mental adalah 11.2 peratus bagi dewasa dan 20.3 peratus untuk kanak-kanak dan remaja. Statistik itu jelas menunjukkan peningkatan berbanding tahun1996 di mana jumlahnya ialah 10.3 peratus dewasa dan 13 peratus kanak-kanak dan remaja. Tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan yang dibuat pada 2011 pula menunjukkan 12 peratus (kira-kira 2.6 juta) rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.
Menurut Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar, statistik itu adalah satu angka yang tinggi kerana ia menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini menghidap penyakit mental. Menurutnya, penyakit mental juga lebih banyak berlaku dalam kalangan kaum hawa pada kadar 12.1 peratus berbanding lelaki (10.4 peratus). Bagi wanita puncanya lebih banyak disebabkan masalah dengan pasangan dan masalah dengan anak-anak, manakala bagi lelaki puncanya lebih kepada kecederaan otak akibat kemalangan jalan raya dan penyalahgunaan dadah.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pula menyebut (2014) bahawa statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan seorang daripada 100 rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit mental jenis skizofrenia. Menurutnya, pesakit skizofrenia boleh bertindak mencederakan diri sendiri dan orang lain. Kita pernah dikejutkan dengan pelbagai tragedi yang melibatkan nyawa disebabkan masalah berkaitan gangguan psikologi atau penyakit mental.
Antaranya, pada tahun 2010 kita digemparkan dengan tragedi pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan yang dilakukan oleh ahli keluarga sendiri disebabkan masalah berkaitan gangguan psikologi atau penyakit mental. Baru-baru ini di Sg. Petani, Kedah kita digemparkan pula dengan tragedi dua beradik disembelih oleh ibu kandung sendiri yang juga disyaki mengidap penyakit mental.
Kesan dan halangan
Penyakit mental mempunyai kesan buruk kepada penghidapnya dan ia boleh merugikan negara terutamanya dalam aspek melahirkan warganegara yang sihat emosi dan mentalnya. Penyakit mental boleh menjadi punca kepada perbuatan bunuh diri. Perbuatan bunuh diri di negara ini didapati semakin meningkat antara sembilan dan 12 orang bagi setiap 100,000 populasi, berbanding lapan orang pada 1980-an. Dalam kes skizofrenia, ia boleh mendatangkan ancaman nyawa kepada ahli keluarga atau masyarakat sekeliling seperti kes penyembelihan anak atau ahli keluarga.
Pesakit skizofrenia mengalami gangguan perasaan, pemikiran, emosi yang serius sehingga menyebabkan tingkah laku mereka seolah-olah berada dalam dunia yang berlainan. Mereka sering kali mendengar suara-suara yang menyuruhnya bertindak sesuatu yang boleh membahayakan diri dan orang di sekelilingnya.
Justeru, masalah penyakit mental terutamanya penghidap skizofrenia tidak boleh dipandang ringan dan mereka perlu dirawat segera dan mengikut jadual rawatan yang ditetapkan. Namun, ada beberapa halangan utama yang menyebabkan pesakit mental gagal menerima rawatan awal. Menurut MPA, antara halangan utama kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan penyembuhan ialah berlakunya diskriminasi dan penafian masyarakat terhadap penyakit mental.
Majoriti rakyat di negara ini tidak melihat masalah kesihatan mental sebagai sesuatu yang serius. Sikap ini menyebabkan ramai pesakit mental gagal mendapatkan rawatan awal. Selain itu, keprihatinan keluarga dan masyarakat memberikan sokongan dan penerimaan kepada pesakit mental masih lagi rendah sedangkan ia amat penting dalam membantu pesakit untuk sembuh. Masyarakat perlu membuang stigma atau persepsi buruk bahawa pesakit mental tidak boleh diubati atau dipulihkan.
Untuk memberi kesedaran kepada masyarakat maka ia perlu dibincangkan secara terbuka agar stigma terhadap pesakit mental dapat dikurangkan dan masyarakat akan lebih sedar tanggungjawab mereka untuk membantu pesakit mental. Di negara kita terdapat lebih 40 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan secara profesional.
Statistik 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. berbanding 346,196 pesakit pada 2007 (peningkatan 15.6 peratus). Peningkatan ini menunjukkan wujudnya kesedaran dalam masyarakat kita untuk membantu pesakit mental mendapatkan rawatan.
Apa pun, peningkatan jumlah pesakit sakit mental adalah sesuatu yang serius dan ia meninggalkan kesan buruk kepada negara. Dijangkakan menjelang 2020, penyakit mental akan menduduki tangga kedua selepas penyakit jantung. Ketika ini kedudukannya adalah di tangga kesepuluh. Justeru, Kementerian Kesihatan giat mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini.
Menurut Dr. Hilmi, kementeriannya menyasarkan untuk menambah jumlah pakar psikiatri daripada 300 kepada 900 orang dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Setiap tahun kementeriannya menawarkan biasiswa kepada 50 doktor untuk menjadi pakar psikiatri bagi memastikan hasrat itu tercapai. Ketika ini, nisbahnya adalah seorang pakar psikiatri untuk 150,000 rakyat sedangkan piawaian antarabangsa menetapkan seorang pakar bagi 50,000 penduduk.
Pada hemat penulis usaha menambah dan meningkatkan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi juga perlu diberi keutamaan. Jika pesakit mental yang teruk perlu melalui rawatan psikiatri maka pesakit mental tahap ringan pula boleh dibantu melalui perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi secara profesional. Ini dapat membantu individu terbabit menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Kaunseling juga diperlukan oleh keluarga pesakit mental untuk mengurangkan tekanan mereka kerana terpaksa menjaga dan memantau ahli keluarga yang mengalami gangguan mental.