
Baru-baru ini tersebar luas berita tentang dakwaan hasrat jutawan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg untuk menderma hampir keseluruhan wang beliau berjumlah AS$49bilion.
Walau bagaimana pun, niat beliau itu dipertikaikan berdasarkan hakikat bahawa beliau akan terus memegang kuasa ke atas jumlah tersebut. Ini kerana komuniti sasaran yang kononnya akan mendapat manfaat derma tersebut tidak langsung mempunyai hak untuk membuat apa-apa keputusan dalam cara menggunakannya.
Walaupun inisiatif Yayasan Chan-Zuckerberg (Priscilla Chan isteri beliau) yang dilabelkan sebagai usaha untuk memajukan kesaksamaan dan potensi kemanusiaan memang berpaksi matlamat untuk menderma kepada organisasi bukan untung, tetapi di sebaliknya ia juga membolehkan mereka membuat pelaburan dalam syarikat-syarikat persendirian.
Oleh yang demikian, sesiapa yang 100% mempercayai bahawa hasrat Zuckerberg itu murni perlu mengetahui dengan mendalam mekanisme dan cara jumlah AS$49bilion itu berfungsi.