Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanEkonomiHomeViral

PM Bentang Kajian Semula Persempadanan PRN Sarawak

By 2 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Malaysiaaktif) –Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengemukakan usul Laporan Kajian Semula Persempadanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Beliau turut mengesyorkan perkara tersebut di bawah Seksyen 10, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan yang menunjukkan penambahan 11 kerusi menjadikan 82 kerusi keseluruhan.

“Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu,” katanya ketika membentangkan usul itu di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mencadangkan tambahan 11 bahagian untuk PRN, menjadikan keseluruhan 82 bahagian berbanding 71 bahagian sebelum ini.

Cadangan tersebut dibentangkan untuk dilaksanakan pada lima Disember 2015.

“Penambahan bahagian PRN ini akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di negeri Sarawak, khususnya penduduk yang berada di dalam bahagian PRN tersebut.

“Ia akan lebih memudahkan wakil rakyat serta penduduk untuk berinteraksi, bagi membincangkan hal-hal berkaitan kebajikan penduduk serta merancakkan lagi pembangunan di kawasan bahagian PRN tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib berkata laporan itu turut mencadangkan beberapa kawasan di Sarawak ditukar nama, termasuk bahagian Persekutuan Mambong diusulkan nama baru kepada Puncak Borneo.

Bagi bahagian negeri pula, empat bahagian ditukar, iaitu Bengoh kepada Mambong, Batang Air kepada Batang Ai, Belawai kepada Kuala Rajang dan Kidurong menjadi Tanjong Batu.

Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan pembahagian bahagian sukar dilaksanakan berikutan terdapat beberapa kawasan di luar bandar yang mempunyai keadaan topografi yang berbeza.

“Ini secara tidak langsung telah mewujudkan kekangan-kekangan dari segi lokasi terpencil, jarak antara lokasi-lokasi di kawasan pedalaman yang amat jauh serta jalan-jalan perhubungan serta pengangkutan yang terhad.

“Hal demikian menyebabkan konsentrasi penduduk di kawasan bandar jauh lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.

Perdana Menteri hadir pada pukul 11.30 pagi tadi diiringi Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Tinggalkan komen anda