
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
PUTRAJAYA, 23 Dis (Malaysiaaktif) — Kabinet semalam meluluskan tiga kaedah baharu ke arah memperkasakan prosedur pengambilan pelajar antarabangsa berkuat kuasa 1 Januari 2016.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, kaedah pertama ialah permohonan Pas Pelajar Antarabangsa secara dalam talian kini boleh dibuat oleh pelajar sendiri terus kepada Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS). Kedua, pas tersebut akan dikeluarkan mengikut tempoh pengajian. Ketiga, pas Lawatan Sosial bagi Program Mobiliti boleh dikeluarkan untuk tempoh maksimum 12 bulan.
Tambahnya, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, EMGS dan agensi penguat kuasa lain bekerjasama erat dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Serantau dan Antarabangsa ini.
Sementara itu, sehingga kini terdapat 113,752 pelajar antarabangsa di Malaysia. 32,495 daripadanya mengikuti kursus sarjana dan doktor falsafah.
“Hanya 0.075% yang didapati terlibat dengan jenayah. Dengan adanya kaedah baharu ini pastinya semua pelajar akan dipantau dengan lebih serius oleh pihak penguat kuasa.
Menjelang 2020, kehadiran pelajar asing ini akan menyumbang RM15.6 bilion kepada ekonomi negara,” jelas Idris dalam sidang akhbar di KPT Putrajaya tengah hari tadi.