
Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 22 Jan (Malaysiaaktif) — Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas semua tabika serta melaksanakan baik pulih kritikal bagi memastikan tabika kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, “Bagi 2016, KEMAS menyediakan peruntukan sebanyak RM13 juta untuk baik pulih bangunan sedia ada bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan hashtag #imkemas semasa Program Turun Padang di Tabika KEMAS Kampung Melayu Batu 16 Rawang hari ini.
Menurut beliau, hashtag #imkemas bertujuan mempromosikan program-program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam media sosial.
Tambah beliau, #imkemas juga platform untuk berkongsi maklumat program-program kerajaan bersama segenap lapisan masyarakat, selain memupuk jalinan mesra antara KEMAS dan kumpulan sasaran.