
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa & Dila Khamde
KUALA LUMPUR, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Bermula 1 Mei 2016, Malaysia bakal menjadi Pusat Digital Serantau Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) untuk menangani penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan menerusi Internet.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dengan peruntukan awal RM200 juta, pusat itu akan dikendalikan tiga agensi berkaitan dalam usaha menangani ancaman pelampau militan.
Tambahnya, Malaysia juga telah menyediakan modul deradikalisasi bagi menghalang penyebaran ideologi pelampau militan menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dah Akta Langkah-Langkah Khas Menangani Keganasan Luar Negara (SMATA) 2015.
Modul tersebut telah diterjemahkan kepada tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Perancis untuk rujukan negara yang menyertai persidangan.
Beliau turut menegaskan penting bagi seluruh rakyat untuk menghentikan perbezaan politik, bangsa dan agama serta menyeru rakyat untuk bersatu membanteras keganasan.
Zahid ditemui dalam sidang media selepas majlis penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan (IDC 2016) di sini petang tadi.
IDC 2016 yang berlangsung sejak semalam disertai oleh semua negara ASEAN dan sembilan negara rakan strategik termasuklah Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, China dan Itali.