Skip to main content
HomeViral

Pengebom Jakarta Buat Panggilan Ke Malaysia – PDRM

By 26 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan hari ini mereka berjaya mengesan satu panggilan telefon dari pengebom di Jakarta ke nombor telefon di Malaysia.

Pengarah Cawangan Khas PDRM,  Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan maklumat lanjut mengenai isu itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai kerana ia masih dalam siasatan.

“Saya hanya boleh memaklumkan butiran ini berdasarkan siasatan yang dibuat oleh agensi keselamatan di Indonesia bahawa ada satu panggilan dibuat oleh penyerang ke nombor di Malaysia.

“Kami masih menyiasat perkara ini ketika ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sesi plenari pertama hari kedua Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di Hotel Grand Hyatt di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya kegiatan pengganas di antara dua negara ini.

“Penyiasatan kami memang mengambil kira perkara ini juga,” jelasnya.

Semalam, PDRM menegaskan mereka sentiasa dalam keadaan bersedia dalam menghadapi sebarang ancaman pengganas terhadap negara ini.

Penegasan itu dibuat susulan tersebarnya video ugutan membalas dendam oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) supaya membebaskan ahli mereka yang ditahan sebelum ini.

Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dan tidak akan bertolak ansur terhadap isu sebegini.

“Kita tidak menolak kemungkinan sudah ramai pengikut IS di Malaysia tetapi tindakan sepatutnya telah diambil agar pencegahan awal dapat dilakukan mengikut undang-undang.

“Video berkenaan tidak sepatutnya diterima oleh masyarakat di negara ini kerana bukan sahaja jelas menyalahi undang-undang tetapi juga perlu dicegah dan dielakkan,” katanya.

 

Tinggalkan komen anda