
Oleh Siti Zuraida Md Nor Aidi (Lumut)
LUMUT, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Pelantikan Toh Seri Bijaya Lt Kol (B) Datuk Shaharuddin Hj Nazari, sebagai Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung ibarat sirih pulang ke gagang setelah lebih 30 tahun berkhidmat di luar kawasan.
Menurut Shaharuddin, 61, yang berasal daripada Lekir, pelantikan ini memberi peluang kepada beliau untuk berbakti di tempat kelahirannya sendiri.
“Atas titah DYMM Tuanku Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan (Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah), saya menerima pelantikan ini demi sama-sama membantu mentadbir daerah ini ke arah yang lebih baik,” ujar beliau.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapannya semasa Majlis Makan Malam Sempena Pelantikan Orang Besar Jajahan Manjung kelmarin meluahkan rasa lega apabila Shaharuddin dilantik sebagai OBJ Manjung kerana beliau amat yakin dengan kewibawaan OBJ ini dalam melaksanakan setiap tugas yang diberikan.
“Selain seorang yang tegas, Shaharuddin juga cukup tersusun dari segi gerak kerjanya atas pengalaman beliau yang selama ini menjadi rujukan protokol serta dalam mengendalikan majlis di peringkat negeri dan sebagainya.” katanya.
Seorang penduduk tempatan, Ismail Balua, 57, turut berasa selesa dengan cara kerja Shaharuddin yang tertib dan tersusun serta mengambil berat dalam mengendalikan segala urusan. Dia yakin kehadiran OBJ yang baru ini akan dapat menyumbang kepada perkembangan daerah ini.
Shaharuddin sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai tentera darat, bekas pengiring Sultan Perak, Bahagian Protokol Kerajaan Negeri dan OBJ daerah Hulu Perak. Pelantikan Shaharuddin yang menggantikan Toh Muda Orang Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja Datuk Abdul Wahab Datuk Seri Azizol Hassan berkuat kuasa 1 Januari lalu.