
Oleh Dila Khamde / Hairol Hisham
PUTRAJAYA, 6 Jan (Malaysiaaktif) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bulan lepas mengumumkan syarat-syarat mengadakan jualan murah.
Pada 2 Disember tahun lepas Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika mengumumkan garis panduan tersebut berkata antara syarat utama termasuk, barangan yang dijual dengan “harga jualan murah” hendaklah melebihi 70 peratus daripada jumlah kesemua barangan yang dipamerkan dalam premis yang sama.
Namun demikian, ada sesetengah pihak menyalah ertikan syarat tersebut dengan menyatakan bahawa jualan murah hanya boleh diadakan jika diskaun yang ditawarkan adalah sebanyak 70 peratus.
Tafsiran sebenar adalah, jualan murah hanya boleh dijalankan sekiranya 70 peratus daripada kesemua barangan dalam premis tersebut diberi tawaran diskaun.
Selain itu, peniaga juga perlu mempamerkan harga sebelum dan selepas diskaun pada setiap barangan jualan murah. Notis jualan murah hendaklah dipamerkan dan ditampal di tempat yang mudah dilihat, manakala butiran barangan dan harga boleh dipamerkan dalam bentuk yang mudah dilihat oleh pengguna.
Mana-mana pihak yang ingin mengadakan jualan murah perlu mendapat kelulusan daripada KPDNKK dan seterusnya mempamerkan nombor pendaftaran jualan murah,tarikh jualan, logo KPDNKK pada apa jua pengiklanan. Peniaga juga boleh membuat permohonan notis jualan murah secara dalam talian melalui njm.kpdnkk.gov.my.
Di samping itu, jualan murah yang diadakan mestilah tidak melebihi 30 hari, kecuali tarikh yang diwartakan, iaitu Jualan GP 1 Malaysia, Karnival Jualan Mega 1 Malaysia, dan Jualan Akhir Tahun 1 Malaysia. Jualan murah pilihan peniaga tidak boleh diadakan terus menerus, dan perlu berhenti selama 14 hari sebelum memulakan jualan murah seterusnya.
Syarikat yang didapati melanggar Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2015, buat kali pertama boleh didenda sehingga tidak melebihi RM100,000 dan RM200,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.
Bagi pesalah individu, kesalahan kali pertama akan di denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.