Skip to main content
EkonomiHomeViral

DPPM Gesa Kerajaan Teliti Kembali Pelaksanaan TPPA

By 6 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menasihatkan kerajaan supaya merujuk kembali implikasi Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ke atas undang-undang dan sistem perlembagaan  negara ini.

Presidennya, Datuk Dr Syed Ali Alattas berpendapat pengalaman lepas telah memberi pengajaran buruk kepada Malaysia apabila negara dijajah secara tidak langsung berikutan perjanjian yang ditandatangani dengan kuasa luar.

Jelasnya, kebanyakan individu yang memegang jawatan penting menjaga keselamatan negara ditukar berikutan perjanjian tersebut.

“Pengalaman tandatangan Perjanjian Pangkor 1874 dan Perjanjian Persahabatan 1885 antara kerajaan negeri Johor dengan British hanya minta kita terima penasihat British.

“Sudah tandatangan lepas itu, dia ubah sana sini. Habis negara dijajah. Tukar Ketua Polis, Inspektor pun orang putih. Apa, kita tidak boleh jadi inspektor?

“Perjanjian Pangkor 12 muka surat, Perjanjian Johor 8 muka surat pun kita sengsara sampai sekarang. TPPA kita ada 6,000 muka surat,” katanya dalam sidang media selepas persidangan meja bulat anjuran DPMM hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menghantar memorandum khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan pendapat ahli-ahli perniagaan terhadap TPPA.

Tegasnya, ahli Parlimen perlu ingat sekiranya mereka mengambil keputusan untuk tandatangani TPPA maka Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengubah perjanjian itu lagi.

“Dalam TPPA, hanya lima enam bab daripada 29 bab sentuh mengenai perdagangan, bermakna TPPA ini akan buat satu kesan yang besar berkenaan sosio politik kita.

“Kita akan hantar memorandum untuk pastikan dalam apa perkara pun, rakyat kita terbela kerana kita negara dunia ketiga,” katanya lagi.

Memorandum tersebut akan dihantar sebelum sidang Parlimen khas mengenai TPPA yang dijadualkan hujung Januari ini.

 

 

Tinggalkan komen anda