Skip to main content
HomeViral

Remaja Perempuan ‘Diculik’, Lelaki Ke Mahkamah

By 6 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KLANG, 6 Jan  — Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa dirinya diculik dan pemuda dipercayai teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, masing-masing bagi pertuduhan memberi maklumat palsu dan melarikan remaja bawah umur.

Remaja perempuan itu yang mencetuskan kontroversi dengan mereka cerita kononnya dia telah diculik di Bandar Sultan Suleiman di sini minggu lepas, mengaku bersalah memberi maklumat palsu berhubung kehilangannya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.

Tertuduh yang memakai baju hospital berwarna hijau didakwa mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menggunakan keterangan diculik sebagai keterangan yang benar sedangkan ia adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Sultan Suleiman di sini kira-kira pukul 9.12 pagi, 29 Dis lepas.

Remaja berkenaan yang ketika itu disyaki diculik, telah dijumpai polis di dalam sebuah kereta bersama-sama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya di hadapan sebuah stesen minyak di Banting dekat sini, kira-kira pukul 7.45 malam dua hari kemudian.

Terdahulu, pemuda berumur 19 tahun, yang dipercayai teman lelaki remaja perempuan itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melarikan remaja bawah umur tanpa keizinan yang sah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.

Turut dihadapkan ke mahkamah sama ialah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun atas tuduhan merogol remaja perempuan itu di Bandar Sultan Suleiman di sini pada kira-kira 12 tengah hari pada Disember 2014, yang ketika itu remaja perempuan tersebut berumur 13 tahun enam bulan.

Remaja lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 ke atas remaja perempuan itu sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membolehkan hukuman dijatuhkan.

Bagaimanapun, peguam mewakili remaja itu, Nur Aida Md Zainuddin, memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dengan mengambil kira faktor pesalah bawah umur itu sedang mengikuti pengajian Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Klang.

“Anak guam saya yang merupakan anak sulung dari empat beradik juga terpaksa bekerja separuh masa dalam cuti panjang sekolah bagi membantu menyara keluarganya,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat RM1,500 dengan dua penjamin terdiri daripada ibu bapa remaja itu dan menetapkan 14 Jan ini sebagai tarikh untuk penyerahan laporan akhlak gadis itu serta jatuh hukum.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 25 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes pemuda berumur 19 tahun itu yang diwakili peguam Ian Mark Simpson.

Sementara remaja lelaki berumur 16 tahun itu yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin terdiri daripada ibu bapanya dan kes ditetapkan disebut semula esok.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda