Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Seribu Pemohon Serbu Pejabat Zakat Daerah Padang Terap

By 6 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Putera, Syafiq Saad, Syafiq Razi (Padang Terap)

 Padang Terap, 6 Jan (Malaysiaaktif)   — Lebih 1,000 mengunjungi Pejabat Zakat Daerah Padang Terap Ahad lepas bagi mendapatkan bantuan awal sebanyak RM400.00 untuk sesi persekolahan 2016, seperti diumumkan sebelum ini.

Pemohon perlu memenuhi syarat yang ditetapkan, iaitu mereka mesti beragama Islam, sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak bersekolah rendah atau menengah. Ibu tunggal juga layak bagi sekurang-kurangnya dua anak yang bersekolah rendah atau sekolah menengah.

Bantuan Zakat ini tidak diagihkan kepada anak di pra sekolah, tadika dan yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang belajar di Institut Pengajian Tinggi.

DSC_8436

Beberapa orang awam yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana mendapat bantuan ini, tetapi ada dalam kalangan mereka yang berasa terkilan dengan cara Pejabat Zakat mengagihkan borang permohonan.

Seorang pemohon, Hajar Hamid, 40, berkata beliau terpaksa beratur panjang bercampur lelaki dan perempuan bagi mendapatkan borang permohonan. Menurutnya, sepatutnya borang-harus diedarkan secara lebih mudah dengan  membuka kaunter di tingkat bawah dan bukan di tingkat satu pejabat berkenaan.

DSC_8435

Seorang ibu mengandung yang enggan disebut namanya berkata, lebih baik jika Pejabat Zakat Daerah Padang Terap menyediakan borang berkenaan di Masjid Muadzam Syah, Kuala Nerang, seperti tahun lepas. Ini kerana Pejabat Zakat tersebut terlalu sempit dan beliau terpaksa menaiki tangga untuk ke tingkat satu di dalam keadaan bersesak-sesak.

Seorang lagi pemohon, Mohd Salleh, 49, berkata, beliau tidak dimaklumkan bahawa borang permohonan Bantuan Zakat Awal Persekolahan  akan diberikan apabila pemohon mengemukakan surat nikah. Hal ini membuatkan beliau terpaksa pulang semula bagi mendapatkan surat nikah berkenaan. Tambahnya lagi, Pejabat Zakat sepatutnya memaklumkan syarat-syarat terperinci di tempat-tempat awam dan di masjid supaya tidak menyusahkan orang ramai di masa hadapan.

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda