
Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)
MELAKA, 19 Jan (Malaysiaaktif) — Sebuah dana khas berjumlah 20 juta diperuntukkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai peruntukan tambahan sempena Tahun Pengkomersilan Malaysia 2016 bertujuan memberi impak tinggi kepada negara dalam sektor tersebut.
“Usaha ini akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengkomersilan yang ditubuhkan di peringkat MOSTI bersama beberapa agensi lain sebagai pemudah cara kepada penyelidik untuk memberi nilai tambah kepada sesuatu produk,” kata Timbalan Menteri, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di sini pagi tadi.
Tambah beliau , sehingga kini sebanyak 125 produk penyelidikan berjaya dikomersialkan sejak 2014, namun sebahagian daripadanya masih belum mencapai standard antarabangsa.
“Penyelidik tempatan disarankan memberi tumpuan khusus terhadap pengeluaran produk elektrik dan elektronik yang berimpak tinggi berbanding produk makanan,” ujar beliau dalam Majlis Penyampaian Komputer Peringkat Tangga Batu anjuran bersama Standard Chartered di Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.
Dalam majlis itu beliau menyampaikan 60 komputer kepada 12 sekolah rendah di sekitar Parlimen Tangga Batu yang turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Penerangan Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Datuk Arif Siddiqui.