
Oleh Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mustapa Mohamed memaklumkan keputusan untuk melaksanakan pengundian secara rahsia berhubung cadangan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Jelasnya, Malaysia tidak mengamalkan tafsiran undi rahsia, namun ia masih akan diputuskan oleh speaker.
“Kaedah pengundian esok, satu suara, itu bergantung kepada speaker tetapi kalau ada 15 ahli Parlimen mohon belah bahagi akan ada belah bahagi.
“Kalau tanya saya, sebelum ini di luar (Dewan Rakyat) panas dah. Saya jangkakan suasana panas di dalam Dewan Rakyat, tetapi belum ada lagi. Sekarang masih terkawal.
“Tiada dalam tafsiran Malaysia undi rahsia. Terpulang kepada speaker. Beliau putuskan. Bukan kami,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau menolak pembentangan mana-mana ahli Parlimen, terutama pembangkang yang menghentam syarikat asing sebagai modal untuk membahas.
Tambahnya, individu terbabit perlu memikirkan kesan kepada pendekatan itu yang dilihat akan merugikan sistem ekonomi negara.
“Kalau ada mana-mana ahli Parlimen mengambil pendekatan untuk ‘bashing multinasional’, maka hambatlah mereka keluar dari Malaysia, kalau itu pendekatan mereka.
“Mereka boleh cadangkan tutup kilang balik ke Jepun, China. Kita negara perdagangan. Kalau kita nak halau orang keluar, macam mana orang nak halau kita? Bagaimana (nasib) Khazanah Nasional, Sime Darby, Petronas?
“Sekarang kita bercakap soal menang-menang. Jangan tangkap muat, ini merugikan kita. Syarikat multinasional negara, menggaji tak kurang 700,000 pekerja,” tegasnya.
Terdahulu, Tok Pa membentangkan cadangan untuk mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) di Dewan Rakyat.
Perbahasan mengenai TPPA itu akan berlangsung selama dua hari sehingga 27 Januari.
Speaker Dewan Rakyat turut memaklumkan Menteri itu dikehendaki menggulung perbahasan tersebut pada jam 2.30 petang hari Rabu sebelum pengundian dibuat.