Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahViral

Pelajar Asrama SMK Sungai Layar, Keracunan Makanan

By 26 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 190 pelajar terdedah dan 64 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar dan Pendidikan Khas Integrasi yang mengalami sakit perut, muntah dan cirit mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim di sini semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pihaknya telah dimaklumkan tentang kejadian keracunan makanan yang dialami pelajar di sekolah berkenaan.

Katanya, “Pejabat kesihatan Daerah Kuala Muda menerima laporan daripada Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada pukul 9.30 pagi ini dan telah ke HSAH dan hasil siasatan mendapati seramai 61 orang pelajar, 23 lelaki dan 38 perempuan pelajar asrama dari sekolah berkenaan telah mendapat rawatan pesakit luar di unit kecemasan.

Sejumlah 44 orang pelajar dibenarkan pulang, manakala 17 orang diletakkan di zon pemerhatian (zon kuning) Jabatan Kecemasan HSAH sebelum dibenarkan pulang. Pelajar-pelajar tersebut berada dalam keadaan stabil dan tiada pelajar dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Menurut Dr Norhizan, mereka turut menjalankan siasatan di sekolah berkenaan dan mendapati tiga orang pelajar mempunyai gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan hospital.

Beliau berkata dalam kejadian awal pada Ahad, sakit perut dan muntah dialami pelajar berumur dari 13 hingga 19 tahun pada pukul 2.00 petang dan 7.00 petang.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas dapur asrama sekolah yang beroperasi sejak 2014 dengan seramai enam orang pekerja itu mendapati segalanya dalam keadaan baik. Mereka juga mematuhi peraturan dengan mendapatkan suntikan  typhim, selain mendapat latihan di pusat latihan pengendali makanan.

Siasatan awal oleh pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda mengesyaki keracunan makanan berpunca daripada makanan tengah hari, iaitu nasi goreng yang dihidangkan kepada pelajar dari dapur asrama sekolah berkenaan.

Pengusaha dan pengendali telah diarah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan diberi nasihat agar mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti makanan.

Tambah Dr Norhizan, pelajar-pelajar asrama sekolah tersebut juga telah diberikan pendidikan kesihatan berkaitan keselamatan dan kualiti makanan dengan mengamalkan  ‘Lihat, Bau dan Rasa’ serta mengamalkan kebersihan tangan sebelum dan selepas makan serta selepas menggunakan tandas.”

Kesemua 190 pelajar penghuni asrama SMK Sg Layar, dengan 44 orang pelajar mengikuti aliran pembelajaran pendidikan khas (pendengaran dan percakapan).

 

Tinggalkan komen anda