
Oleh Muniyamma & Mastim Kiriman (Sabah)
KOTA KINABALU, 26 Feb 2016 (Malaysiaktif) –? Seramai 279 pelajar yang kurang kemampuan dan tinggal di kawasan pedalaman diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata para pelajar berkenaan sangat bertuah kerana diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya mereka tidak tercicir dari arus pendidikan.
Beliau menasihati para pelajar untuk tidak menganggap kemiskinan menjadi faktor penghalang mereka untuk mengubah nasib serta mendapatkan masa hadapan yang cerah.
“Sebagai pelajar yang terpilih untuk meneruskan pengajian ke Universiti hendaklah menghargai peluang keemasan ini dengan belajar bersungguh-sungguh serta mendapatkan keputusan yang cemerlang.
“Saya meletakkan kepercayaan kepada pentadbir UMS agar terus kekalkan pengambilan pelajar B40 untuk membantu pelajar-pelajar terutamanya membantu anak jati Sabah yang berada jauh di pedalaman supaya mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan yang semakin mencabar ini,”katanya yang juga merangkap Exco Pendidikan Negeri Sabah.
Masidi berkata demikian di Majlis Ramah Mesra Pelajar B40 di sini, malam tadi.
Tambah Masidi, ini merupakan satu usaha gigih daripada pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan Mekanisme Mod Kemasukan baharu bagi isi rumah 40 peratus terrendah Pengurusan Kemasukan ke IPTA dan Politeknik bagi pelajar tercicir melalui sistem pemilihan berasaskan Prinsip Metokrasi.
Beliau berkata pelaksanaan mekanisme berkenaan melibatkan calon pelajar daripada golongan yang kurang kemampuan daripada aspek sosio ekonomi keluarga serta kurang mendapat peluang dan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr.Ismail Ali mengingatkan para pelajar terus bersemangat dan mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang pelajaran sehingga tamat pengajian di institusi ini.