Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Kebebasan Bersuara Tetap Ada Batasnya – Salleh

By 26 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohamad Zairin (Shah Alam)

SHAH ALAM, 26 Februari (Malaysiaaktif) – “Dalam kes Malaysian Insider, pihak SKMM telah membuat penyiasatan awal dan mendapati ada di antara artikel-artikel tersebut bertentangan dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak dalam sidang media semasa Majlis Perasmian Karnival Karangkraf Ke-8 sebentar tadi.

Beliau menegaskan, mereka telah ambil keputusan menyekat portal The Malaysian Insider dan ketika ini pihak SKMM sedang menjalankan penyiasatan lengkap dengan kerjasama pihak polis agar tindakan susulan boleh diambil.

Beliau juga memberitahu, polis telah memanggil Editor Malaysian Insider untuk diambil keterangan dan setelah penelitian dibuat baru tindakan susulan diambil mengikut undang-undang yang boleh digunapakai dalam hal ini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Salleh setiap aduan daripada masyarakat diterima, siasatan awal dibuat dan bukan dengan sewenang-wenangnya untuk menyekat.

Tegas beliau lagi, portal berita tersebut sudah disekat sepenuhnya, tetapi seperti yang ramai maklum, apabila sudah disekat, mereka akan buat yang lain pula.

“Sudah tentulah kita akan meneliti semua dan pada dasarnya lucah ataupun perkara-perkara yang ekstreme itu memang akan disekat”, kata beliau.

“Dalam kes Malaysian Insider, ada satu artikel dan artikel tersebut telah memetik tentang beberapa kenyataan yang mengelirukan kerana ia bercanggah dengan kenyataan rasmi yang dibuat oleh SPRM. Ini mengelirukan masyarakat dan tidak adil. Menurut Seksyen 233, kita tidak boleh menghina seseorang itu tanpa asasnya,” tegas beliau.

Salleh menegaskan tiada masalah jika berbeza pendapat, namun demikian orang ramai perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau juga berkata, banyak laman web yang mengkritik kerajaan dan berpandangan berbeza. Itu tiada masalah dan beliau juga menegaskan jika tidak setuju dengan kerajaan, boleh membuat kritikan , tetapi perlu berhati-hati supaya kenyataan yang dikeluarkan tidak bertentangan dengan Seksyen 233 tersebut.

“Jika ada aduan dari pembangkang pun kita akan bertindak yang sama jika bertentangan dengan Seksyen 233”, tegas beliau.

 

Tinggalkan komen anda