Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomeKelantanViral

Beca, Ikon Pengangkutan Awam Kota Bharu Semakin Pupus

By 20 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan / Foto:  Normah Sapa’in, Yuslina Ibrahim & Siti Fazilah Derahman (Kota Bharu)

KOTA BHARU,20 Feb (Malaysiaaktif) — Sudah lebih 40 tahun Pok Yeh, 70, menjadi penarik beca di bandar Kota Bharu.

Namun demikian, hari ini, walaupun dengan saingan daripada pengangkutan awam yang lebih moden dia masih bersemangat untuk meneruskan kerjayanya.

Hari-harinya bermula seawal 6.30 pagi apabila dia mula menarik beca dari rumahnya di Beris Kubu Besar, Bachok untuk ke Kota Bharu di mana terdapat kebanyakan pelanggan yang masih setia dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Zaman sekarang begitu mencabar bagi dirinya. Menurut Pok Yeh, permintaan perkhidmatan becanya tidak menentu. Adakala dia pulang ke rumah dengan tangan kosong kerana tiada langsung pelanggan walaupun tekun menantikan mereka sehari suntuk.

 

20160218012718

 

Menurutnya, sekarang ini yang ada hanya peraih sayur yang berniaga di Pasar Siti Khadijah. Daripada mereka, Pok Yeh mempu mendapat sekitar RM4 hingga RM5 sehari.

Bagi Pok Yeh, walaupun zaman telah berubah dan ramai orang lebih menggunakan perkhidmatan teksi dan bas, namun baginya menarik beca hanyalah satu-satu kerjaya yang dia selesa melakukan sebagai kerjaya sejak beberapa dekad.

Walaupun doktor pernah menasihatinya supaya jangan meneruskan kerjaya itu, namun Pok Yeh yang menghidap penyakit batu karang terpaksa meneruskannya untuk menampung sara hidup selagi terdaya.

Selain pendapatan yang tidak seberapa dan tidak menentu daripada usaha menarik beca, Pok Yeh juga mendapat bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dengan bantuan itu sekurang-kurangnya dia dapat membiayai kos perubatan.

Namun demikian, bantuan kewangan daripada JKM itu tidak dibayar secara berkala. Dalam keadaan demikian Pok Yeh terpaksa berlegar sekitar bandar untuk cuba mendapatkan pelanggan walaupun nyata harapan semakin tipis.

Pok Yeh menyatakan harapan agar ada pihak yang prihatin untuk membantu golongan sepertinya yang meniti senja seiring warisan pengangkutan yang menjadi sumber rezekinya itu.

Sehingga tahun lepas dianggarkan hanya terdapat kira-kira 50 penarik beca yang masih aktif di Kota Bharu.

 

Tinggalkan komen anda