
Oleh Suriani Ghazali (Ipoh)
IPOH, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Penglibatan secara langsung golongan remaja dalam majlis hafazan perlu digalakkan kerana ia mampu melahirkan generasi berjiwa besar yang dididik dan berpandukan ajaran Al-Quran.
Di samping itu, ia juga penting kerana boleh membawa kepada kesimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi.
Demikian dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapan semasa merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-37 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Hotel Casuarina di sini semalam.
Menurut Jamil, remaja merupakan modal insan yang penting kepada negara dan memandangkan hari ini ramai penghafaz Al-Quran terdiri daripada generasi muda, ia membawa petanda yang membanggakan.
Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-37 yang bermula pada Isnin lepas ini menyaksikan seramai 78 peserta mengambil bahagian.
Mereka terdiri daripada 40 hafiz (peserta lelaki) dan 38 hafizah (peserta wanita) berusia antara 11 hingga 25 tahun yang dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori pertama membabitkan peserta menghafaz juzuk pertama hingga juzuk ke-10, kategori kedua juzuk pertama hingga juzuk 20 dan kategori ketiga juzuk pertama hingga juzuk 30 atau keseluruhan al-Quran.
Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang pada hari terakhir pertandingan Sabtu ini berupa wang tunai berjumlah antara RM800 hingga RM10,000 serta cenderamata mengikut kategori.