Skip to main content
HomeViral

Pencuri Taring Harimau Di LPT2 Diburu

By 17 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA TERENGGANU, 17 Feb — Jabatan Perhilitan Terengganu mempergiatkan usaha memburu dua lelaki termasuk seorang warga asing yang dipercayai suspek utama yang mencuri taring harimau belang betina yang mati dirempuh di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pada 6 Feb lalu.

Pengarah Jabatan Perhilitan Terengganu Mohd Hasdi Husin berkata kedua-dua suspek yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu mempunyai kaitan dengan kecurian terbabit selepas gambar mereka bersama harimau berkenaan menjadi viral sejak beberapa hari lalu.

“Kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat mahupun mengenali individu ini dapat tampil bagi membantu siasatan…kita memandang serius perbuatan seperti ini kerana ia merupakan jenayah berat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar,” katanya kepada Bernama di sini.

Sejak kejadian itu Perhilitan memanggil tujuh individu termasuk pemandu yang merempuh harimau berkenaan dan petugas lebuh raya.

“Lakaran wajah kedua-dua suspek telah kita peroleh dan kini usaha mengesan sedang dijalankan dan imej berkenaan sedang dianalisis bahagian pengecaman,” katanya.

Difahamkan dua batang gigi taring sepanjang antara 6.4 hingga 7.6 sentimeter pada bahagian kiri mulut harimau betina berkenaan telah dicuri pada hari kejadian.

Mohd Hasdi berkata pihaknya juga sedang menganalisis rakaman kamera tertutup (CCTV) yang diletakkan di setiap rumah tol di sepanjang LPT2 berkenaan bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan kedua-dua suspek.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu, agar tampil ke Jabatan Perhilitan atau menghubungi talian 09-6221460.

Dalam kejadian 1 pagi itu, harimau betina seberat kira-kira 100 kilogram itu dikatakan cuba melintas di KM321.2 lebuh raya berkenaan sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna dari arah Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.

— BERNAMA / Foto: Media Sosial

Tinggalkan komen anda