Skip to main content
EkonomiHomeViral

MTUC Serah Memorandum Bantah Kemasukan 1.5 Juta Pekerja Asing

By 18 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Saharuddin Othman, Azri Zainal Abidin & Anwar Aizuddin Abd Wahab

PUTRAJAYA, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Satu perhimpunan aman dan penyerahan memorandum bantahan rancangan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia berlangsung hari ini.

Peserta perhimpunan yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu juga menyampaikan memorandum bantahan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid, kesatuan itu membantah rancangan kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh melalui mekanisme Kerajaan kepada Kerajaan Plus (MOU G-To-G Plus).

Ini kerana dulunya pekerja Bangladesh hanya diserapkan dalam sektor perladangan, namun kini telah dipersetujui untuk diserapkan dalam sektor perkhidmatan, pertanian, pembuatan dan pembinaan.

Mereka mendakwa perkara ini dapat menjejaskan kedudukan pekerja tempatan yang masih kurang mendapat pembelaan daripada kerajaan dan majikan, terutamanya dari segi kebajikan dan gaji minimum yang masih tidak dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, mendakwa hak sebagai rakyat Malaysia tidak diberi sama rata untuk mendapatkan pekerjaan kerana membenarkan pekerja asing masuk dan menutup peluang kepada rakyat Malaysia mencari rezeki di tanah air sendiri.

Bagi pihak KDN memorandum diterima oleh Penolong Setiausaha, Sharon Janaprakasam, sementara bagi pihak Kementerian Sumber Manusia oleh Setiausaha Bahagian Dasar, Kua Abun.

Turut hadir memberi sokongan, ahli-ahli Kesatuan Pekerja Malaysia Airports (KESMA), Railway Union of Malaya (RUM) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE).

 

 

Tinggalkan komen anda